Kita sebagai pelabur sudah biasa mendengar mengenai PN17. Kaunter-kaunter yang statusnya jatuh kepada kategori PN17 dianggap sebagai syarikat yang bermasalah.
Secara ringkasnya, Practice Note 17/2005 (PN17) adalah peraturan ketat yang dikenakan oleh Bursa Malaysia terhadap syarikat-syarikat yang bermasalah daripada segi kewangan, berisiko tinggi untuk terkeluar daripada papan Bursa Malaysia (delisted), manipulasi laporan kewangan syarikat dan juga pelbagai aspek lain. Pucuk pangkalnya, syarikat tersebut gagal memenuhi syarat atau peraturan minimum yang ditetapkan oleh Bursa Malaysia.
Jika nak tahu lebih lanjut mengenai PN17, anda wajib baca artikel di bawah.
Baca: Apa Itu PN17? Kenapa Pelabur dan Pedagang Saham Yang Bijak Menjauhinya
Walaupun saham PN17 tetap didagangkan di pasaran saham dan boleh dibeli serta dijual oleh pelabur, terdapat risiko yang tinggi bagi para pelabur sekiranya membeli kaunter PN17.
Baca: Saham PN17 Bukan Untuk Semua Orang?
Cerita di atas adalah mengenai PN17. Namun, pernahkah anda dengar PN16?
Jangan keliru kerana PN16 adalah berbeza sama sekali dengan PN17.
Apa Itu PN16?
Nota Amalan No. 16/2005 atau ringkasnya PN16, dikeluarkan oleh Bursa untuk menangani syarikat tunai dan akan memutuskan sama ada untuk mengekalkan status penyenaraian syarikat atau dinyahsenaraikan.
Apabila syarikat tersenarai mempunyai tunai dan pelaburan jangka pendek, membentuk sekurang-kurangnya 70% daripada keseluruhan aset (syarat ini dirujuk sebagai “Kriteria Tunai”), ia perlu memaklumkan Bursa Malaysia dengan segera.
Bursa akan menentukan sama ada syarikat ini dianggap sebagai “Syarikat Tunai”.
Dalam kebanyakan kes, syarikat tersenarai perlu menentukan sama ada ia akan mencetuskan kriteria tunai apabila ia melupuskan sebahagian besar aset kumpulan atau perniagaan terasnya.
Pelaburan jangka pendek ialah pelaburan yang mengikut sifatnya mudah direalisasikan dan bertujuan untuk dipegang selama 12 bulan atau kurang.
Secara umum, Bursa akan memutuskan sama ada tahap operasi syarikat tersenarai adalah mencukupi untuk menjamin dagangan atau penyenaraian berterusan di Bursa.
Jika Bursa memutuskan bahawa tahap operasi adalah tidak mencukupi, syarikat tersenarai akan dianggap sebagai syarikat tunai.
Tecnic pernah dikategorikan sebagai PN16
Pada Julai tahun 2015, sebuah syarikat tersenarai iaitu Tecnic pernah dikategorikan sebagai kaunter PN16.
Perkara ini terjadi ekoran syarikat Tecnic Group Berhad menjual keseluruhan perniagaan terasnya kepada SKP Resources Berhad dengan nilai RM200 juta pada Oktober 2014.
Dengan penjualan tersebut, Tecnic telah dikategorikan sebagai Practice Note 16 (PN16) atau dalam kata lain syarikat tunai berdasarkan syarat penyenaraian Bursa Malaysia. Ia adalah kerana Tecnic jatuh ke dalam kategori syarikat tunai dengan tiada perniagaan teras lagi dan perlu mencari perniagaan teras yang baru untuk mengekalkan penyenaraiannya di Bursa Malaysia.
Apakah tindakan yang perlu dilakukan oleh Tecnic?
- Tecnic mesti menetapkan syaratnya dengan mengemukakan cadangan untuk memperoleh perniagaan teras baharu kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dalam tempoh 12 bulan dari tarikh notis.
- Ia juga mesti meletakkan sekurang-kurangnya 90% daripada tunai dan setara tunai dalam akaun yang dibuka dengan institusi kewangan yang dilesenkan oleh Bank Negara Malaysia dan dikendalikan oleh penjaga.
- Ia tidak dibenarkan mengeluarkan wang kecuali untuk melaksanakan cadangan untuk memperoleh perniagaan teras baharu yang diluluskan oleh SC atau untuk pengagihan pro-rata kepada pemegang saham.
Status PN16 Tecnic ditarik balik
Status PN16 Tecnic telah ditarik balik setelah ia diambil alih oleh Rohas-Euco Holdings Sdn Bhd. Tecnic telah menerima tawaran pengambilalihan daripada Rohas-Euco pada harga 63 sen sesaham.
Dengan pengambilalihan tersebut, syarikat tersebut akan didagangkan dengan nama Rohas Tecnic Berhad.
Pengambilalihan yang berjaya itu adalah untuk menyuntik perniagaan baharu ke dalam syarikat iaitu fabrikasi menara keluli untuk transmisi kuasa dan telekomunikasi serta produk dan perkhidmatan lain yang berkaitan.
Kes Terbaharu – Pelikan menjual perniagaan teras
Sumber: Berita Harian
Berita terbaharu yang baru diterbitkan pada 30 Jun 2023, Pelikan International Corp Bhd (PICB) bersetuju untuk menjual Pelikan Group GMBH (PGG) kepada kepada Holdham SAS Pelikan Group GMBH pada harga 136 juta Euro atau kira-kira RM695 juta, sekali gus menyaksikannya keluar daripada perniagaan alat tulis.
Selepas penjualan tersebut, ahli lembaga pengarah mencadangkan untuk mengagihkan dividen khas dan pembayaran balik modal kepada pemegang saham.
Setelah selesai cadangan penjualan itu, PICB boleh diklasifikasikan sebagai ‘Penerbit Tersenarai Terjejas” menurut Perenggan 8.03A Keperluan Penyenaraian dan/atau ‘Syarikat Tunai’ menurut Perenggan 8.03 dan Nota Amalan 16 (PN16) Keperluan Penyenaraian.
Kegagalan untuk mematuhi obligasi di bawah Perenggan 8.03A dan/atau Perenggan 8.03 dan PN16 Keperluan Penyenaraian boleh mengakibatkan sekuriti tersenarai PICB digantung dan/atau syarikat dinyahsenarai daripada senarai rasmi Bursa Securities.
Walaubagaimanapun, penulis percaya bahawa pihak pengurusan PICB sedar bahawa tindakan penjualan tersebut akan menyebabkan Pelikan diklasifikasikan sebagai PN16 dan mereka mempunyai pelan perancangan sebelum penjualan tersebut dilakukan.
Sebagai pemegang saham, pelabur boleh bertanyakan soalan kepada pihak pengurusan ketika mesyuarat agung tahunan (AGM) kelak untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Sumber: