Selepas pengumuman vaksin yang dibuat oleh beberapa syarikat seperti Pfizer dan BioNTech dari Amerika Syarikat dan Sinopharm dari China; dunia menyambut baik catalyst ini. Ekonomi dunia kelihatan semakin pulih, harga minyak mentah dunia juga semakin meningkat.
Saham-saham berkaitan vaksin di Malaysia turut menerima tempiasnya. Salah satu daripadanya adalah Duopharma, jom kita buat kajian CANSLIM ke atasnya.
Latar Belakang Duopharma Biotech Berhad (DPHARMA) (7148)
DPHARMA atau nama penuh syarikat tersebut Duopharma Biotech Bhd bermula dengan penubuhan Duopharma Sendirian Berhad pada tahun 1979. Duopharma Biotech ditubuhkan pada tahun 2000 dan hari ini Duopharma telah berjaya menjadi salah sebuah syarikat farmaseutikal terkemuka di Malaysia.
Ia adalah sebuah syarikat yang disenaraikan di pasaran utama atau ‘MAIN MARKET’ di Bursa Malaysia dengan nama singkatan DPHARMA dan kod sahamnya 7148.
DPHARMA mempunyai kepakaran dalam industri farmaseutikal termasuklah dalam pembuatan, penyelidikan & pembangunan, dan pemasaran lebih daripada 300 ubat generik seperti Omesec dan Prelica.
Jom kita kaji kaunter DPHARMA ini dengan menggunakan kaedah CANSLIM, untuk tahu lebih mendalam mengenai fundamental dan teknikal syarikat.
C- Current Earnings DPHARMA
Salah satu cara untuk kita menilai kualiti sesebuah syarikat adalah dengan melihat kepada pertumbuhan perolehan syarikat yang terkini. Kita boleh mengukur pertumbuhan Earnings Per Share (EPS) syarikat bagi suku tahunan terkini dengan suku yang sama pada tahun sebelumnya.
Berdasarkan data yang diperolehi daripada KLSE Screener, nilai EPS untuk suku ketiga DPHARMA adalah 2.03. merosot sebanyak 4% jika dibandingkan dengan suku sebelumnya dan merosot sebanyak 5% jika dibandingkan dengan suku yang sama tahun sebelumnya.
Namun tiada masalah bagi DPHARMA kerana kemerosotan ini hanyalah jumlah yang kecil. Syarikat ini masih berjaya membuat keuntungan yang tinggi setiap suku. Secara purata, DPHARMA membuat keuntungan bersih sebanyak RM12 – RM14 juta setiap suku yang menandakan petanda positif untuk syarikat.
A- Annual Earnings DPHARMA
Annual Earnings bermaksud pendapatan tahunan syarikat. Tekniknya mudah, pastikan syarikat tersebut meraih keuntungan setiap tahun. Kita dapat lihat bahawa DPHARMA mencatatkan keuntungan setiap tahun sejak tahun 2013.
Seterusnya, kita melihat kepada perolehan syarikat secara tahunan. Kita boleh menggunakan EPS tahunan syarikat sebagai kayu pengukur prestasi pendapatan tahunan. Kita juga boleh menggunakan nisbah Return On Equity (ROE) untuk menilai perolehan tahunan.
Pendapatan tahunan yang terdahulu juga membantu kita menilai syarikat apabila perubahan keadaan ekonomi berlaku.
N- News, New High, New Management
News atau berita terkini secara langsung atau tidak langsung mampu menjadi pemangkin kepada sesebuah syarikat dan amat penting dalam membuat penilaian dengan kaedah CANSLIM ini. Selain daripada itu, harga saham yang tertinggi atau New High yang dicatatkan oleh saham sesebuah syarikat adalah merupakan faktor penting.
Seterusnya, pertukaran pendtabiran syarikat dan pihak pengurusan juga penting dalam menentukan prestasi sesebuah syarikat dalam jangka masa panjang.
Pemangkin bagi DPHARMA adalah apabila mereka dilantik sebagai salah sebuah syarikat tempatan yang akan membotolkan vaksin apabila vaksin tersebut sampai ke Malaysia nanti. Petikan kenyataan daripada Menteri Sains dan Teknologi kita iaitu YB Khairy Jamaluddin berbunyi seperti ini:
“Kerajaan telah menandatangani perjanjian dengan Pfizer bagi menjamin perolehan vaksin COVID-19 keluaran syarikat farmaseutikal itu bagi 20 peratus rakyat Malaysia iaitu kira-kira 6.4 juta orang.
Vaksin itu akan diberikan kepada rakyat jika ia terbukti selamat dan berkesan, bermula tahun depan.
Data awal vaksin itu setakat ini menunjukkan tahap keberkesanan setinggi 95 peratus setelah melalui ujian klinikal fasa ketiga ke atas 43,998 orang di seluruh dunia meliputi kanak-kanak seawal 12 tahun sehingga warga emas berusia 85 tahun”.
Kerajaan sentiasa bertegas untuk memastikan sebarang vaksin yang akan diberikan kepada rakyat adalah selamat dan berkesan dan kesemua vaksin perlu melalui proses penilaian melalui Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan sebelum ia diberikan kepada rakyat.
S- Supply and Demand
Adakah terdapat permintaan terhadap saham DPHARMA ini? Sudah tentu ada kerana tema yang dinanti-nantikan oleh ramai orang adalah tema vaksin. Pelabur yang bijak sudah tentu telah membeli saham ini sejak beberapa bulan yang lalu apabila Kementerian Kesihatan mengumumkan DPHARMA dilantik sebagai syarikat yang akan membotolkan vaksin tersebut.
Tidak mustahil kita akan melihat sekali lagi permintaan tinggi terhadap saham-saham vaksin seperti mana yang pernah terjadi terhadap kaunter sarung tangan pada pertengahan tahun 2020.
Permintaan dan penawaran sesuatu saham adalah penting untuk menentukan pergerakan harga sesebuah saham. Jumlah unit saham yang didagangkan ini menentukan sama ada harga saham itu mudah atau sukar untuk turun naik berdasarkan permintaan semasa. Bilangan saham DPHARMA yang diapungkan hanyalah 706.03 juta unit iaitu kurang dari 1 bilion unit, lalu menjadikan DPHARMA ini boleh dikatakan sebagai kaunter yang ringan.
L- Leader and Laggard
Leader dan laggard ini adalah untuk kita tentukan saham mana yang lebih sensitif bertindak balas dengan sebarang berita yang berkaitan dengan sesebuah industri. Berita yang berkaitan dengan DPHARMA sudah pastinya pelantikan syarikat yang akan membotolkan vaksin Covid-19 nanti. Apabila vaksin telah ditemui dan sampai ke Malaysia nanti, saham DPHARMA pasti akan mendapat minat belian yang tinggi. Kaunter leader lain yang boleh diperhatikan adalah Pharmaniaga.
Cara untuk menentukan sama ada sesuatu saham adalah leader atau laggard, kita boleh melihat kepada modal pasaran dan kekuatan prestasi kewangan syarikat tersebut. Leader sudah pasti mempunyai contoh yang baik dan mempunyai prestasi yang terbaik bagi sektor tersebut. Senang cerita, semua yang baik-baik belaka.
I- Institutional Investor
Institutional Investor adalah kumpulan institusi kewangan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Khazanah Nasional Berhad dan lain-lain lagi seperti Mutual Fund, Bank Pelaburan, Syarikat Takaful/Insurans dan yang lain-lain. Sering kali para institusi seperti ini digelar sebagai jerung.
Dapat dilihat Top 10 pemegang saham DPHARMA adalah terdiri daripada para institusi seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB), EPF, KWSP, Public Mutual dan banyak lagi. Maka kaunter DPHARMA ini menepati kriteria ‘Institutional Investor’ ini iaitu adanya para institusi sebagai pemegang saham.
Membeli saham yang dipegang para institusi adalah merupakan tindakan yang bijak.
M- Market Direction
Sebelum membeli sebarang saham, penting bagi kita untuk tahu sama ada kaunter tersebut sedang berada dalam fasa uptrend, sideways atau downtrend. Membeli ketika pasaran dalam fasa uptrend adalah merupakan tindakan yang bijak.
Setelah lama membuat sideways, DPHARMA mula menarik minat pelabur setelah Menteri Sains dan Teknologi, YB Khairy Jamaluddin mengumumkan bahawa DPHARMA bakal menjadi salah sebuah syarikat yang akan membotolkan vaksin Covid-19. Sejak daripada itu, DPHARMA terus membuat uptrend. Ada kalanya DPHARMA membuat pullback, namun pullback tersebut adalah pullback yang sihat sebelum meneruskan aliran uptrend.
Kajian di atas adalah contoh cara penggunaan strategi CANSLIM dalam pemilhan saham sebelum kita membuat keputusan untuk melabur ke dalam sesebuah syarikat. Kaedah ini digunakan oleh pengurus dana dan juga pelabur-pelabur yang berjaya. Jika mereka juga menggunakan kaedah ini, mengapa tidak kita?
Tengok chart dah reti, tekan ‘buy’ dan ‘sell’ pun tahu tapi…saham yang kita pilih itu bagus atau tidak?
Kalau nak jadi pelabur dan pedagang yang bijak memilih saham berkualiti tinggi, mestilah kena pandai kuasai teknik Analisis Fundamental dan Analisis Teknikal.
Pernah dengar formula CANSLIM? Ala…formula popular yang pelabur serata dunia gunapakai. Formula best ini dicipta oleh pelabur tersohor dunia iaitu William J. O’Neil.
Dengan menggunakan CANSLIM, secara tidak langsung kita telah pun membuat 2 jenis analisis tadi. Pelabur boleh menilai sendiri sama ada saham syarikat itu sesuai untuk dibeli atau boleh diabaikan.
Miliki e-book CANSLIM -> TheKapital.my/Ebook-CANSLIM