KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) — Industri perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) merekodkan jumlah hasil industri yang jauh lebih rendah sebanyak RM56.2 bilion pada 2020 (Tahun Kewangan 2020) daripada RM65.1 bilion pada 2019 apabila keseluruhan industri minyak dan gas terjejas teruk akibat penurunan harga minyak dan pandemik COVID-19.
Perbadanan Sumber Petroleum Malaysia (MPRC) berkata jumlah hasil yang direkodkan pada 2020 disumbang oleh 1,328 syarikat OGSE, yang mencatatkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM4.3 bilion semasa tahun tersebut dengan purata kerugian margin 9.2 peratus.
Ia juga berkata faktor penyebab kepada hasil rendah itu termasuklah rosot nilai yang dicatatkan oleh beberapa syarikat utama seperti Sapura Energy sebanyak RM3.2 bilion, diikuti Velesto Bhd (RM461.7 juta), Bumi Armada Bhd (RM357.3 juta) dan MISC Bhd (331.8 juta).
Bagaimanapun, berlainan pula dengan Yinson dan Dialog yang mencatatkan margin keuntungan sebelum cukai dua digit masing-masing pada 13.1 peratus dan 32.4 peratus.
Ketua strategi korporat dan penyelidikan MPRC Ilham Sunhaji berkata bagi mendepani masa depan yang tidak menentu, industri OGSE telah mengurangkan pemilikan aset dan mempelbagaikan operasi kepada sektor kurang berinsentifkan aset.
Bagi tahun kewangan 2020, jumlah aset kewangan bagi 100 syarikat OGSE utama adalah sebanyak RM100.7 bilion daripada RM109.9 bilion pada tahun kewangan sebelumnya berbanding jumlah aset kewangan industri pada RM103.1 bilion daripada RM112.7 bilion pada tahun sebelumnya.
“Ini adalah strategi mereka untuk meneruskan kelangsungan hidup,” katanya kepada Bernama dan Harian Metro dalam satu temu bual baru-baru ini susulan pelancaran terbitan terkini MPRC mengenai OGSE100 bagi Tahun Kewangan 2020.
Keseluruhannya, industri juga mencatatkan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul rendah pada 4.69 peratus setahun dari 2017 hingga 2020.
PEMULIHAN SEMULA PRESTASI KEWANGAN
Bagaimanapun, MPRC tidak menjangkakan industri OGSE melantun semula tahun ini meskipun harga minyak mentah global yang melepasi paras US$100 setong.
Naib presiden MPRC bagi projek khas Ezwan Zakaria berkata peningkatan harga minyak mentah akan membawa kepada peningkatan kos operasi tetapi mungkin tidak membawa kepada pertumbuhan hasil.
“Mereka mungkin tidak menikmati manfaat yang sama seperti yang dinikmati Petronas. Sifat perniagaan minyak dan gas adalah kebanyakan kontrak oleh penyedia perkhidmatan OGSE biasanya melebihi beberapa tahun. Bagi pembekal OGSE, kontrak mereka dimeterai beberapa tahun lepas semasa harga minyak agak rendah.
“Pada masa itu, terdapat inisiatif bersama dengan Petronas dan pemain OGSE untuk menguruskan kos. Hasil mereka dijana hanya semata-mata daripada perkhidmatan dan juga peralatan yang mereka sediakan pada harga itu. Walaupun harga minyak melambung tinggi, namun kadar mereka tidak bergerak sejajar dengan harga,” katanya.
KEBERGANTUNGAN KEPADA PERBELANJAAN MODAL PETRONAS
Prestasi industri OGSE yang lemah tahun itu juga disebabkan oleh peruntukan perbelanjaan modal lebih rendah oleh Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dari tahun 2015, terkesan oleh beberapa faktor termasuk harga minyak global yang lebih rendah.
“Dari situ kita melihat perubahan kepada industri. Iaitu apabila perbelanjaan dikurangkan dengan ketara dan industri sangat bergantung kepada perbelanjaan modal Petronas. Oleh sebab pengurangan yang telah dilakukan sebahagiannya disebabkan oleh harga minyak, ia telah mengakibatkan kehilangan peluang dalam pasaran,” kata Ezwan.
Sebelum 2015, pasaran OGSE berada dalam kedudukan baik dengan banyak pelaburan dan pembinaan aset seterusnya menghasilkan kesan keseluruhan kepada industri dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Pada 2020, Petronas merekodkan jumlah perbelanjaan modal global sebanyak RM15.9 bilion yang mana RM5.4 bilion diperuntukkan kepada pelaburan portfolio antarabangsa di negara-negara utama termasuk Kanada dan Iraq manakala perbelanjaan modal domestik berjumlah RM17.5 bilion berbanding RM24.7 bilion pada tahun sebelumnya.
PELAPORAN KEMAMPANAN OGSE
Di sebalik pandemik, pemain OGSE tempatan menunjukkan peningkatan ketara dalam kemajuan mereka daripada segi kemampanan bagi tahun kewangan 2020.
MPRC melaporkan bahawa sebanyak 39 peratus daripada 100 OGSE teratas telah melaporkan amalan kemampanan, terdiri daripada 25 peratus syarikat tersenarai awam (PLC) dan 14 peratus syarikat tidak tersenarai.
“Kami merancang untuk memulakan rancangan kemampanan OGSE tahun ini di mana kami ingin berbincang dengan industri dan pihak berkepentingan mengenai cabaran dalam menerima pakai amalan kemampanan dan apakah yang akan dirancang,” kata Ilham.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Yazid Jaafar berkata penggiat OGSE mesti mengamalkan amalan kemampanan untuk memastikan kelangsungan perniagaan mereka.
“Seluruh dunia kini mengguna pakai piawaian kemampanan dan ruang di mana anda mendapat sokongan semakin berkurangan. Kemampanan telah menjadi sebahagian daripada perniagaan dan menjadi satu keperluan untuk anda mempunyai piawaian keselamatan, kesihatan dan alam sekitar,” katanya.
Kemampanan adalah sebahagian daripada Pelan Hala Tuju Industri Perkhidmatan dan Peralatan Minyak dan Gas (OGSE) Kebangsaan. Pelan tindakan itu dilancarkan pada 2021 dan menggariskan setiap matlamat untuk industri OGSE daripada segi nilai eksport, perkembangan teknologi serta ambang untuk kepelbagaian ke dalam sektor berkaitan antaranya tenaga boleh diperbaharui.
— BERNAMA




