KUALA LUMPUR, 16 Mac (Bernama) — Keuntungan bersih Scientex Bhd pada suku kedua berakhir 31 Jan, 2022 berkurangan kepada RM93.69 juta daripada RM112.17 juta pada suku kedua 2021.
Perolehan meningkat kepada RM952 juta daripada RM906.54 juta sebelum ini, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Dalam kenyataan berasingan, kumpulan itu berkata keuntungan yang rendah itu berikutan impak daripada harga bahan mentah yang tinggi dan kos pengangkutan untuk perniagaan pembungkusan penggunanya dan penangguhan pengeluaran Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) dalam perkembangan tertentu.
“Segmen hartanah menghadapi kos bahan mentah yang tinggi dan kekurangan bahan serta perubahan dalam proses permohonan kawal selia tertentu, yang telah menjejaskan kecekapan operasi kami buat sementara waktu.
“Bagaimanapun, permintaan untuk rumah mampu milik kekal baik dan kami terus berkembang ke lokasi baharu dengan pelancaran pertama hartanah bertanah di Negeri Sembilan dan Kedah, bersama dengan bangunan tinggi pertama kami di Lembah Klang pada separuh kedua tahun kewangan 2022,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Scientex Lim Peng Jin.
Mengenai masa depan, katanya pembukaan semula perniagaan dan aktiviti ekonomi yang lebih baik di Malaysia dan di peringkat antarabangsa memberi prospek yang baik kepada kumpulan.
“Kami telah menyaksikan permintaan yang stabil untuk produk pembungkusan kami dan akan terus meningkatkan kapasiti dalam bidang yang mempunyai kekuatan daya saing serta meneruskan inovasi dalam beberapa kategori untuk mengukuhkan lagi kedudukan pasaran kami.
“Ini termasuk pembangunan yang berterusan untuk rangkaian lebih luas penyelesaian pembungkusan mampan untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat, terutamanya dalam kalangan jenama pengguna,” katanya.
Kumpulan turut meningkatkan pelan kesinambungan perniagaannya untuk mengurangkan risiko gangguan operasi dan mendapatkan kepercayaan daripada pelanggan global yang bergantung kepada komitmen rantaian bekalan.
“Kami berharap dapat memenuhi keperluan yang tinggi terhadap rumah mampu milik berdasarkan ekonomi yang semakin pulih dan kadar vaksinasi yang tinggi.
“Langkah simpanan tanah kami dalam tempoh beberapa tahun ini telah meletakkan kami pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan pemulihan ekonomi pasca pandemik, selain kami turut memanfaatkan penggunaan platform digital untuk meningkatkan keberkesanan jualan dan pemasaran,” katanya.
Pada rehat tengah hari, saham Scientex meningkat sebanyak 0.25 peratus kepada RM3.99 dengan 315,400 saham diniagakan.
— BERNAMA




