KUALA LUMPUR, 29 Nov (Bernama) — Pelabur asing muncul sebagai penjual bersih untuk minggu berakhir 26 Nov, minggu pertama aliran keluar selepas tujuh minggu mencatatkan aliran masuk bersih sebelum ini dengan aliran keluar bersih berjumlah RM163.64 juta, kata MIDF Research.
Firma penyelidikan itu berkata Bursa Malaysia menyaksikan pelabur asing sebagai penjual bersih setiap hari pada minggu urus niaga berkenaan dengan aliran keluar asing terbesar dicatatkan pada Isnin.
“Ketika pasaran dibuka semula untuk urus niaga Isnin lepas, institusi dan peruncit tempatan merupakan pembeli bersih, masing-masing mencatatkan nilai RM37.33 juta dan RM45.11 juta manakala pelabur asing adalah penjual bersih berjumlah RM82.44 juta,” katanya.
Dalam pada itu, ia berkata peruncit adalah pembeli bersih setiap hari untuk minggu tersebut kecuali pada hari Jumaat dengan pembelian bersih paling banyak oleh peruncit dicatatkan pada hari Isnin sebanyak RM45.11 juta dan satu-satunya jualan bersih dengan rekod sebanyak RM7.72 juta.
Bagi minggu itu, peruncit bersih membeli ekuiti bernilai RM109.50 juta di Bursa Malaysia, katanya.
Untuk institusi tempatan pula, MIDF berkata ia merekodkan jualan bersih mingguan terkumpul sebanyak -RM54.16 juta.
“Institusi tempatan adalah penjual bersih untuk sebahagian besar hari minggu urus niaga kecuali pada hari Isnin dan Jumaat. Jualan bersih terbesar ialah pada Khamis berjumlah RM16.30 juta, manakala aliran masuk bersih terbesar pada Jumaat berjumlah RM50.49 juta,” katanya.
Sementara itu, MIDF berkata secara kumulatif sejak awal tahun 2021, peruncit merupakan satu-satunya pembeli bersih di pasaran ekuiti tempatan dengan nilai RM11.70 bilion.
Ia berkata institusi tempatan dan pelabur asing adalah penjual bersih masing-masing berjumlah RM9.85 bilion dan RM1.85 bilion.
Dari segi penyertaan – pelabur runcit, institusi tempatan dan pelabur asing merekodkan pergerakan mingguan masing-masing pada -14.03 peratus, -9.83 peratus dan -11.32 peratus dalam purata nilai dagangan harian (ADTV), tambahnya.
Dalam pada itu, daripada saham teratas dengan aliran masuk wang untuk minggu itu, CIMB mencatatkan nilai tertinggi dengan RM4.61 bilion diikuti Yinson RM2.50 juta dan Bursa Malaysia RM1.63 juta.
Bagi aliran keluar wang pula, INARI menyaksikan aliran keluar wang bersih paling banyak berjumlah RM5.93 juta minggu lepas, diikuti oleh Genting Malaysia sebanyak RM3.83 juta dan British American Tobacco RM3.13 juta bagi minggu kajian, kata MIDF.
Mengimbas kembali pergerakan pasaran, ia berkata pasaran ekuiti di seluruh dunia berada dalam kerugian minggu lepas berikutan kebimbangan terhadap varian baharu Covid-19.
Indeks barometer Bursa Malaysia, FBM KLCI susut lagi sebanyak 0.87 peratus.
Ia berkata prestasi bursa tempatan yang lebih lemah mungkin dipengaruhi oleh kebimbangan terhadap prospek inflasi Malaysia apabila inflasi indeks harga pengguna (IHP) utama Malaysia meningkat kepada +2.9 peratus tahun ke tahun pada Oktober 2021, tinggi sedikit melepasi konsensus pasaran.
Dalam perkembangan lain, MIDF berkata harga minyak mentah Brent menyaksikan penurunan 7.82 peratus dalam pergerakan mingguan minggu lepas, untuk ditutup pada US$72.72 setong pada Jumaat lepas.
“Harga minyak menjunam minggu lalu berikutan kebimbangan yang semakin meningkat mengenai varian baharu COVID-19 yang boleh menjejaskan pemulihan pasaran minyak.
“Untuk makluman, harga minyak menyusut US$10 setong pada hari Jumaat, penurunan sehari terbesar sejak April 2020,” katanya.
— BERNAMA




