KUALA LUMPUR, 1 Nov (Bernama) — Public Investment Bank Bhd (PIVB) telah mengekalkan sasaran penanda aras akhir tahun 2021 FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) pada 1,590, walaupun ia percaya bahawa pasaran jangka pendek berkemungkinan akan memberikan reaksi negatif daripada “kejutan” Cukai Makmur, langkah sekali sahaja yang diumumkan dalam Bajet 2022.
Walaupun cukai keuntungan modal yang banyak diperkatakan tidak menjadi kenyataan, kerajaan, bagaimanapun, mencadangkan Cukai Makmur (cukai kemakmuran) untuk membantu meringankan bebannya dalam membantu rakyat dan memastikan bahawa sistem kesihatan negara lebih mampan dalam menangani ancaman masa hadapan.
“Telah dilaporkan bahawa sekurang-kurangnya 120 syarikat tersenarai Bursa Malaysia akan terjejas oleh perkara ini, berpotensi mengambil kira-kira RM8 bilion (lebih kurang 12 peratus) daripada hasil,” katanya dalam satu nota hari ini.
Menurut bank pelaburan itu, Bajet 2022 secara jangka panjangnya adalah bersifat positif, memandangkan jangkaan kesan pengganda daripada perbelanjaan pengembangan, manakala reaksi jangka pendek berkemungkinan negatif.
“Belanjawan 2022 nampaknya mempunyai lebih banyak memberi faedah daripada kerugian, yang mana kesan kerugian itu lebih condong kepada indeks penanda aras penting indeks wajaran tinggi-kitaran modal yang lebih besar yang mungkin mempengaruhi pergerakan pasaran,” katanya.
Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz, semasa membentangkan Bajet 2022 pada Jumaat, mengumumkan Cukai Makmur sekali sahaja kepada syarikat yang mengaut keuntungan lebih RM100 juta bagi tahun taksiran 2022.
“Pertama, pendapatan yang boleh dicaj sehingga RM100 juta pertama dikenakan cukai sebanyak 24 peratus, dan kedua, baki pendapatan bercukai dikenakan cukai sebanyak 33 peratus, untuk tahun taksiran 2022 sahaja,” katanya.
Secara keseluruhan, PIVB percaya bahawa langkah yang diumumkan dalam belanjawan mungkin mencukupi bagi mengekalkan perbelanjaan pengguna pada 2022, satu faktor penting dalam pemulihan sektor perkhidmatan.
Menurut PIVB lagi, memandangkan sempadan fiskal kerajaan yang terhad walaupun had hutang meningkat baru-baru ini, adalah boleh diterima (buat masa ini) agenda kemajuan digital dan teknologi mungkin tertangguh, dengan keperluan yang lebih diutamakan ke arah kesejahteraan rakyat dan pemulihan keadaan kewangan.
“Sama seperti Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang dilancarkan baru-baru ini, Bajet 2022 datang pada saat yang penting bagi negara kerana ia mencatatkan arah pertumbuhan di tengah-tengah krisis COVID-19 yang dijangka berubah menjadi endemik pada masa hadapan.
“Sasaran KLCI akhir tahun 2021 (FBM) kami adalah sebanyak 1,590 mata dan kekal tidak berubah,” katanya.
— BERNAMA




