KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) — Nestlé (Malaysia) Bhd mencatatkan peningkatan dalam keuntungan bersihnya kepada RM112.11 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun, 2025 daripada RM93.60 juta pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata prestasi yang lebih baik didorong oleh fokus berdisiplin ke atas kecekapan dan pengoptimuman kos, yang membolehkan pelaburan strategik dalam jenama bagi menyokong pertumbuhan dan pengembangan bahagian pasaran.
“Keuntungan yang diperoleh juga mendapat manfaat daripada pemulihan hasil yang kukuh dan strategi penetapan harga yang berhemah di tengah-tengah kenaikan kos,” tambahnya.
Hasil Nestlé bagi suku itu turut meningkat kepada RM1.67 bilion berbanding RM1.52 bilion tahun lalu disebabkan pertumbuhan yang positif daripada jualan domestik manakala jualan eksport pula kekal kukuh.
Justeru, ia mengesahkan lagi daya saing antarabangsa syarikat itu dan peranannya sebagai hab pembuatan halal terbesar bagi kumpulan Nestlé di peringkat global.
Melangkah ke hadapan, Nestlé menjangkakan untuk mengekalkan pertumbuhan yang kukuh dan memulihkan tahap keuntungan pada separuh kedua 2025 yang berakhir 31 Disember, 2025, sambil kekal berwaspada terhadap risiko geopolitik.
Syarikat itu berkata ia akan terus memberi tumpuan kepada penyampaian produk halal yang berkhasiat yang memenuhi jangkaan pengguna di Malaysia dan akan terus melabur dalam pendigitalan dan kecekapan operasi bagi menyokong inovasi jenama dan kepimpinan pasaran jangka panjang.
Berikutan prestasi kukuhnya, lembaga pengarah Nestlé Malaysia mencadangkan dividen interim sebanyak 70 sen sesaham bagi tahun kewangan 2025, yang akan dibayar kepada para pemegang sahamnya pada 2 Oktober, 2025.
— BERNAMA
Buka akaun CDS secara online dan percuma!
Nak buka akaun CDS dengan CGS International? Masukkan kod SP1M538 pada ruang Remisier Reference dan Klik Sini Untuk Tutorial




