KUALA LUMPUR, 21 Julai – Harga saham Sunway Construction Group Bhd (SunCon) merosot 12.38 peratus pada pertengahan pagi ini selepas syarikat mengumumkan bahawa Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak lagi menjadi pemegang saham utama minggu lalu.
Setakat jam 11.50 pagi, harga saham syarikat pembinaan itu jatuh 74 sen kepada RM5.24, dengan 59 juta saham bertukar tangan.
KWSP telah melupuskan 20 juta saham yang diuruskan oleh Citigroup Nominees (Tempatan) Sdn Bhd, menyebabkan pegangan KWSP dalam SunCon susut kepada 4.27 peratus, iaitu di bawah ambang 5 peratus yang diperlukan untuk diklasifikasikan sebagai pemegang saham utama.
Di bawah kerangka Jualan Singkat Intrahari (IDSS) Bursa Malaysia, saham akan digantung jika ia melepasi had penurunan harga harian sebanyak 15 peratus (bagi sekuriti berharga RM1.00 ke atas) atau jatuh di bawah harga rujukan.
Setakat ini, Sunway Construction telah memperoleh tiga kontrak utama, termasuk projek fasa akhir pusat data bernilai RM260 juta dan satu lagi kontrak bernilai RM1.16 bilion bagi perkhidmatan kontraktor utama untuk dua projek pusat data.
— Sumber: BERNAMA
Baca dulu: Nak Buka Akaun Saham Online Dengan Webull? Dapat Antara Caj Terendah Di Pasaran





