Baru-baru ini, penulis berpeluang menghadiri jemputan ke pelancaran IPO PMCK Berhad untuk sesi ‘analyst briefing’. Sesi tersebut dihadiri oleh ramai penganalisis dan juga terdapat beberapa finfluencer.
Sebelum itu, jemput baca penyenaraian SAG pada 5 Jun lalu. Klik sini.

Nak tahu sama ada boleh mohon IPO ini ataupun tidak, jemput baca sampai habis artikel ini. Artikel ini akan berkongsi 10 maklumat penting untuk anda.

1. Tarikh-Tarikh Penting

Bagi yang mempunyai akaun CDS dengan CGS International, anda boleh mohon IPO terus melalui CGSI eIPO.
Pastikan ikut langkah ini untuk buka akaun dengan CGS International -> Klik Sini Untuk Tutorial
Sebagai pelabur, anda perlu peka dengan tarikh-tarikh penting IPO ini supaya tidak terlepas peluang. Permohonan dibuka pada 26 Mei 2025 dan akan ditutup pada 25 Jun 2025. Cukup masa untuk anda pertimbangkan sama ada hendak mohon ataupun tidak. Tapi jangan sampai terlepas pula.
Selepas itu, undian akan dijalankan pada 30 Jun 2025, dan saham akan diagihkan kepada pemohon yang berjaya pada 7 Julai 2025. Akhirnya, syarikat ini akan disenaraikan di Bursa Malaysia pada 9 Julai 2025. Pastikan anda memohon sebelum tarikh tutup kerana selepas itu, anda hanya boleh membeli saham di pasaran terbuka.
2. Latar Belakang

Bagi warga Kuala Lumpur, mungkin tidak ramai yang mengenali PMCK Berhad ini. Tetapi bagi warga utara terutamanya Pulau Pinang dan Kedah, mereka mungkin lebih mengenali syarikat ini kerana Putra Medical Centre Kedah ini terletak di Alor Setar, Kedah dan mungkin pernah melawat pusat penjagaan kesihatan ini.

Putra Medical Centre (PMC) diasaskan pada tahun 1991 oleh Dato’ Dr. Lim Kim Huat dan Yu Ching Hsiu, yang berhasrat untuk menyediakan kemudahan perubatan moden di Kedah. Pengalaman peribadi Dato’ Dr. Lim, apabila ibunya disahkan menghidap kanser rahim dan perlu berulang-alik ke Pulau Pinang menaiki motosikal untuk rawatan, menjadi inspirasi utama penubuhan PMC.
Beliau ingin memastikan rakyat Kedah dan kawasan utara Semenanjung Malaysia mempunyai akses mudah kepada rawatan kesihatan yang canggih tanpa perlu menempuh perjalanan yang berbahaya dan jauh.
3. Segmen Perniagaan

Kumpulan ini menguruskan Pusat Perubatan Putra (PMC) yang terletak di Alor Setar, Kedah, dan menyediakan perkhidmatan perundingan pakar, rawatan kecemasan serta sokongan klinikal.

Pusat Perubatan Putra (PMCK) turut mendapat sokongan daripada 40 pakar perunding, yang merangkumi 26 doktor pelatih dan 14 profesional perubatan dalam 17 bidang kepakaran.
Menurut Pengarah Urusan PMCK, Datuk Lee Gaik Cheng, penubuhan syarikat ini berpaksikan visi berteraskan belas kasihan bagi memastikan penduduk di utara Semenanjung mempunyai akses kepada penjagaan kesihatan yang berkualiti.
4. Perbandingan Bilangan Katil Hospital Swasta Mengikut Negeri

Jadual di atas merupakan bilangan katil hospital bagi setiap 10,000 orang di hospital swasta di Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur, 2023.
Kenapa statistik tersebut penting?
Ianya penting untuk kita tahu sama ada katil di hospital cukup ataupun tidak untuk penduduk di sesebuah kawasan. Sebagai contoh, di Kuala Lumpur nisbahnya adalah tersedia 17.71 katil bagi setiap 10,000 penduduk di sana.
Jika dibandingkan pula dengan negeri Kedah, hanya tersedia 3.05 katil bagi setiap 10 ribu penduduk negeri tersebut. Ianya memberi mesej bahawa masih tidak cukup katil hospital untuk menampung rakyat di negeri Kedah.
Ianya juga memberi petanda bahawa masih ada peluang besar untuk mana-mana penyedia perkhidmatan kesihatan termasuklah PMCK Berhad untuk menampung kekurangan ini.
5. Prestasi Kewangan & Keuntungan Syarikat


Laporan sorotan kewangan dan operasi menunjukkan prestasi kewangan yang kukuh bagi kumpulan ini dari FYE 2022 hingga FPE 2025. Pendapatan tahunan meningkat secara konsisten daripada RM97.09 juta pada FYE 2022 kepada RM104.34 juta pada FYE 2024 sebelum mencatatkan RM58.55 juta bagi FPE 2025.
Margin keuntungan kasar (GP margin) kekal tinggi melebihi 30% sejak FYE 2023, manakala margin keuntungan selepas cukai (PAT margin) menunjukkan penurunan kecil dari 11.89% pada FYE 2022 kepada 13.47% pada FPE 2025. Nisbah semasa kekal sihat melebihi 3 kali, mencerminkan kedudukan kecairan yang baik.
Dari segi hasil mengikut segmen, perkhidmatan sokongan penjagaan kesihatan terus menjadi penyumbang utama dengan lebih 66% sumbangan kepada pendapatan, diikuti perkhidmatan pakar perunding dan perkhidmatan lain. Secara keseluruhannya, kumpulan ini menunjukkan pertumbuhan mampan dan pengurusan kewangan yang stabil. Trend ini dijangka akan terus berterusan sebagai sebuah pusat penjagaan kesihatan.
6. Saiz IPO & Pemilikan Saham
IPO itu memerlukan terbitan awam sebanyak 272.60 juta saham baharu pada harga terbitan 22 sen sesaham,
Berdasarkan modal saham syarikat diperbesarkan sebanyak 1.09 bilion saham pada harga IPO, syarikat itu akan mempunyai permodalan pasaran kira-kira RM239.93 juta selepas penyenaraian.

Selepas IPO, LKH Holdings Malaysia bakal menjadi pemegang saham tersebesar dengan 55.41%. Dato’ Dr Lim dan Dato’ Lee masing-masing memegang 55.41% melalui LKH Holdings.
Dato’ Lee pula masih memiliki 14.42% pegangan secara terus di samping 55.41% tadi.
7. Dana IPO Akan Digunakan Untuk Apa?

IPO ini akan meraih dana sebanyak RM59.97 juta. Mari kita lihat pula bagaimana PMCK nak guna dana ini.
- Sebahagian besar dana tersebut iaitu RM50 juta atau 83.37% bakal digunakan untuk membayar balik pinjaman yang digunakan untuk pembinaan Putra Medical Centre Kulim. Secara dasarnya mesti ramai yang berpandangan bahawa sekiranya syarikat menggunakan dana IPO untuk membayar balik pinjaman adalah satu ‘red flag’. Namun, pada pandangan saya, pinjaman balik ini adalah selari dengan pengembangan perniagaan PMCK Berhad kerana PMC Kulim akan membantu menambah pendapatan, servis kepada pelanggan, dan keuntungan kepada syarikat. Untuk kes ini, pelabur perlu melihat dari sisi ini.
- Seterusnya, RM5.272 juta (8.79%) bakal digunakan untuk membeli peralatan bagi PMC Kulim tersebut kelak.
- Akhir sekali, RM4.7 juta (7.84%) bakal digunakan untuk kos penyenaraian.
Secara kesimpulannya, kita dapat lihat IPO ini memang adalah fokus untuk pembinaan PMC yang terletak di Kulim ini kelak.
8. Polisi Dividen

PMCK Berhad menyasarkan untuk membayar dividen sehingga 20% dari keuntungan bersihnya kepada para pemegang saham. PMCK membayar dividen pada tahun 2022 sehingga 2024.
9. Status Syariah

Salah satu kelebihan utama IPO ini ialah status patuh Syariah. Saham PMCK Berhad telah disahkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sebagai patuh Syariah, menjadikannya pilihan menarik bagi pelabur Muslim yang ingin melabur dalam sektor ini tanpa ragu-ragu mengenai status halal pelaburan mereka.
Kami juga hanya sentiasa menulis saham-saham patuh syariah sahaja. Jangan bimbang ya.
10. Perbandingan

PMCK Berhad boleh dibandingkan dengan penyedia perkhidmatan penjagaan Kesihatan lain seperti IHH Healthcare Berhad, Sunway Berhad menerusi anak syarikatnya iaitu Sunway Medical Centre Penang Sdn Bhd dan KPJ Healthcare Berhad.
PMCK Berhad yang boleh dikatakan masih baharu dan kecil, kerana belum mempunyai rangkaian hospital yang meluas di seluruh Malaysia dan mempunyai modal pasaran (Market Capitalization) yang terkecil. Namun, apa yang penting adalah PAT margin serta nilai nisbah Price Earnings.
Margin keuntungan bersih selepas cukai bagi PMCK Berhad antara yang tertinggi dengan 14.39%. PER yang direkodkan juga adalah yang terendah iaitu 15.94x.
Kesimpulan: Patutkah Anda Memohon IPO Ini?
Terdapat beberapa perkara yang anda perlu pertimbangkan sebelum memohon IPO ini terutamanya seperti harga, nilai PE, market share dalam pasaran, pelan masa hadapan serta paling penting adalah kegunaan dana IPO tersebut. Malah sentimen IPO semasa juga perlu diambil kira.
Kesemua ini akan dijadikan pemberat bagi para pelabur sama ada ingin melabur di dalam syarikat ini ataupun tidak.
Penafian: Segala perkongsian adalah untuk sebagai contoh dan untuk tujuan pendidikan sahaja. Ini BUKAN nasihat atau cadangan pelaburan. Keputusan untuk melabur saham adalah tanggungjawab sendiri. Trade at your own risk.
Peluang Sauk Saham Yang Membuat Reversal

Buy on Dip ialah teknik membeli saham ketika anda nampak Bullish Reversal candlestick muncul pada carta.
Teknik ini dapat membantu memberitahu anda kemungkinan pertukaran trend yang akan berlaku.
Ia akan memudahkan anda untuk membuat keputusan bila waktu yang sesuai nak beli saham apabila saham dalam watchlist anda membuat pullback.
Dalam e-book ini, anda akan belajar:
1. Memahami trend
2. Kuasai support & resistance
3. Berkenalan dengan jenis-jenis carta
4. Memahami bagaimana pembentukan candlestick
5. Belajar beli ketika bullish reversal candlestick muncul pada carta
6. Belajar jual ketika bearish reversal candlestick muncul pada carta
7. Ada contoh kajian kes. Bukan 1 tapi 6 kajian kes!




