Kebiasaannya kita dengar jika anda masih baru ingin berjinak dalam pasaran saham, apa kata cuba memohon IPO terlebih dahulu. IPO dikatakan mempunyai risiko yang lebih rendah.
Tahun ini Bursa Malaysia ada menyatakan bahawa mereka menjangkakan akan ada 60 IPO disenarai di Bursa Malaysia.
Baca: Bursa Malaysia Jangka 60 IPO Disenarai Pada 2025 Dengan Permodalan Pasaran RM40.2 Bilion
Tahukah anda setakat suku pertama 2025, berapa IPO telah disenaraikan? Setakat ini telah ada 14 IPO disenaraikan di Papan Utama (Main Market) dan Papan Ace (Ace Market). Dan daripada jumlah itu, 11 daripadanya disahkan patuh syariah.
Jumlah IPO di Main Market
Setakat Mac 2025, hanya ada 2 IPO dari Main Market iaitu Pantech Global Berhad dan Hi Mobility Berhad.
Pantech merupakan IPO pertama yang ditutup rendah pada hari pertama. Memandangkan Pantech adalah daripada Main Market, maka orang ramai menjangkakan Hi Mobility Berhad turut akan mengalami perkara sama tetapi ia tidak berlaku.
Jumlah IPO di Ace Market
Setakat Mac 2025 jika ada 2 IPO di Main Market, selebihnya adalah 12 IPO di Ace Market.
Mari kita lihat prestasi penyenaraian IPO patuh syariah pada suku pertama 2025. Turut disertakan “special mention” saham Oriental Kopi yang masih belum patuh syariah dalam senarai di bawah.

Jom lihat prestasi untuk saham tidak patuh syariah lain sepanjang suku pertama 2025:
NAMA IPO | TARIKH PENYENARAIAN | HARGA IPO | HARGA BUKA KETIKA PENYENARAIAN | PRESTASI HARGA IPO vs HARGA PENYENARAIAN | PRESTASI PENUTUP HARI PERTAMA |
---|---|---|---|---|---|
Saliran Group | 13 Mac 2025 | RM 0.27 | RM 0.275 | 1.85% | -22.22% |
Wawasan Dengkil | 25 Mac 2025 | RM 0.25 | RM 0.25 | 0% | -8% |
Tahun 2025 bermula dengan agak baik bagi IPO yang pertama iaitu Swift Energy Technology Berhad.
Antara syarikat yang mencatatkan prestasi luar biasa adalah Swift Energy Technology Berhad, yang memiliki kadar lebihan langganan sebanyak 58.09 kali dan merekodkan pulangan pelaburan (ROI) sebanyak 41.07% pada harga penutupan hari pertama. Ia mencerminkan keyakinan pelabur yang tinggi terhadap prospek syarikat dalam sektor tenaga.

Satu lagi IPO yang mencuri perhatian adalah Oriental Kopi Holdings Berhad, yang mengalami lonjakan harga sebanyak 98.86% daripada harga tawaran awalnya iaitu RM 0.44 kepada RM 0.875 pada penutupan hari pertama. Fenomena ini menunjukkan potensi besar sektor makanan dan minuman dalam menarik minat pelabur. Namun setakat artikel ditulis, saham ini masih belum patuh syariah.
Sudah tentu kerana jenama Oriental Kopi sendiri yang telah popular menyebabkan pelabur yakin terhadap perniagaan serta sahamnya.
Selain itu, Northern Solar Holdings Berhad dan RichTech Digital Berhad masing-masing mencatat ROI yang baik sebanyak 25.4% dan 26%, sekali gus menegaskan minat pelabur terhadap sektor tenaga hijau dan teknologi digital.
Setakat ini kita belum menyaksikan mana-mana IPO yang berjaya naik melebihi 100% pada hari pertama di tahun 2025.
IPO Yang Mengalami Tekanan Pasaran
Bagaimanapun, tidak semua IPO mencatatkan prestasi cemerlang.
Bermula dengan Pantech Global Berhad, lima IPO berturut-turut mengalami kejatuhan pada hari pertama. Ia membuatkan orang ramai malah lebih takut untuk memohon IPO.
Antara penyumbangnya adalah kerana sentimen di pasaran sekunder sendiri yang menyaksikan pelabur asing telah keluar dari pasaran Malaysia buat 22 minggu berturut-turut.
Ia secara tidak langsung memberi gambaran terhadap apa yang sedang berlaku di pasaran saham tempatan.
Kesimpulan
Prestasi IPO suku pertama 2025 secara keseluruhannya menunjukkan momentum positif pada awal tahun, dengan beberapa syarikat merekodkan peningkatan harga saham yang ketara.
Walaubagaimanapun ia semakin merosot di penghujung suku pertama.
Dengan pasaran yang semakin berkembang, IPO kekal sebagai salah satu cara menarik bagi syarikat mendapatkan modal baharu dan bagi pelabur mencari peluang pertumbuhan dalam pasaran ekuiti Malaysia.
Sementara itu, pelabur harus melakukan analisis mendalam sebelum menyertai mana-mana IPO bagi memastikan mereka membuat keputusan pelaburan yang tepat. Harus diingatkan tidak semua IPO yang terus bersinar sebaik dibuka pada hari pertama.
Kami juga berharap pelabur yang memohon IPO tidak sahaja melihat IPO sebagai platform di mana anda terus menjual di hari pertama untuk membuat keuntungan tetapi juga lihatlah IPO sebagai satu pelaburan jangka masa panjang.