Salah sebuah syarikat yang sedang dibuka untuk permohonan IPO adalah 3REN Berhad. Nama asalnya adalah Sophic Automation Sdn Berhad dan ditubuhkan pada tahun 2007 dengan misi untuk menyediakan penyelesaian automasi industri yang berinovatif dan efektif kepada pelanggannya.
Setelah melawati laman sesawang syarikat tersebut, saya dapati nama syarikat tersebut agak unik kerana membawa makna tertentu. Nombor 3 dalam “3REN” membawa erti membawa bersama-sama 3 rakan kongsi utama iaitu pekerja, pelanggan dan rakan kongsi untuk mewujudkan solusi menang-menang bagi semua pihak.
1. Model Perniagaan Syarikat
3REN Bhd (3REN), merupakan sebuah syarikat penyedia penyelesaian automasi dan perkhidmatan kejuruteraan.
Aktiviti dan penyelesaian perniagaan utama dibahagikan seperti berikut:
- Penyediaan perkhidmatan produk kejuruteraan
- Penyediaan perkhidmatan sokongan kejuruteraan untuk pemasangan dan ujian mikrocip (IC)
- Reka bentuk, pembangunan dan penjualan penyelesaian digital
- Reka bentuk, pembangunan dan penjualan peralatan automasi
Boleh dikatakan pengguna akhir bagi 3Ren Berhad adalah daripada industri semikonduktor, elektronik dan pembuatan.
2. Tarikh-Tarikh Penting
3REN Berhad telah dibuka untuk permohonan pada 9 Oktober 2024 dan akan ditutup pada 23 Oktober 2024. Undian untuk menentukan pemohon yang layak akan diadakan pada 25 Oktober 2024.
Syarikat ini bakal disenaraikan di Papan Ace pada 6 November 2024.
3. Jumlah Dagangan Saham Yang Bakal Diapungkan
3Ren Berhad memperuntukkan 32.5 juta sahamnya kepada pelabur awam, 30 juta kepada pengarah syarikat, staf, dan rakan perniagaan.
Sebanyak 47.5 juta saham diberikan kepada pelabur terpilih serta pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh MITI.
Penyenaraian ini melibatkan terbitan awam 110 juta saham Baharu yang mewakili 16.92% daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan.
Setelah IPO, modal saham terbitan sedia ada akan meningkat daripada 540 juta saham kepada 650 juta saham.
4. Kegunaan Dana IPO
Syarikat ini menyasarkan untuk mengumpul RM30.8 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO) membabitkan terbitan 110 juta saham biasa pada harga 28 sen sesaham.
Ini mungkin mengejutkan anda kerana bahagian terbesar dana yang bakal diraih kelak bakal digunakan untuk membayar balik pinjaman bank. 24.67% atau RM7.6 juta bakal digunakan bagi tujuan tersebut.
Namun, anda tidak perlu melihat dari sudut tersebut sahaja kerana bakinya akan digunakan untuk pengembangan perniagaan dan keperluan operasi.
23.38% atau RM7.2 juta akan digunakan untuk menubuhkan pusat penghantaran baharu di Pulau Pinang yang direka untuk menjalankan perkhidmatan kejuruteraan produk khusus berkaitan reka bentuk dan pembangunan cip semikonduktor.
RM5.1 juta (16.56%) akan digunakan untuk perbelanjaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) termasuk penubuhan pusat inovasi bagi menyokong pembangunan penyelesaian dan peralatan baharu atau yang dipertingkatkan untuk segmen penyelesaian automasi.
RM3 juta (9.7%) lagi akan disalurkan untuk penubuhan pejabat jualan di Singapura bagi meningkatkan kehadiran geografi syarikat dan RM3.9 juta (12.7%) untuk modal kerja, bagi meningkatkan jumlah jurutera serta tenaga kerja berkemahiran.
Akhir sekali, RM4 juta (12.99%) adalah untuk kos penyenaraian.
5. Segmen Pendapatan
Pecahan segmen pendapatan berdasarkan produk / perkhidmatan
Mari kita lihat segmen pendapatan syarikat ini. Dapat dilihat yang segmen perkhidmatan produk kejuruteraan agak konsisten setiap tahun menyumbang sebanyak 25% – 32% dari keseluruhan pendapatan. Segmen ini sentiasa mencatatkan pertumbuhan yang baik setiap tahun dari 2020 sehingga 2023.
Manakala segmen lain sentiasa berubah-ubah setiap tahun.
Pecahan pendapatan berdasarkan geografi
3Ren mempunyai pendedahan terhadap pasaran di luar negara seperti Amerika, China, Vietnam, Filipina, Kanada, Costa Rica, India, Mexico dan Taiwan.
Namun, sebahagian besar pendapatan 3Ren Berhad adalah datangnya dari dalam negara. Pada tahun lepas (2023), 93.90% pendapatan adalah dari negara ini dan hanya 6.10% dari luar negara.
Setelah disenaraikan kelak, 3Ren mungkin akan meneruskan usahanya untuk meningkatkan kehadiran mereka di lebih banyak negara.
6. Pendapatan Terkini Syarikat
Sebelum kita memohon sesebuah IPO, alangkah baiknya jika kita mengkaji sekiranya syarikat tersebut membuat keuntungan secara konsisten ataupun tidak.
Untuk empat tahun terakhir dari 2020 sehingga 2023, kita dapat menyaksikan pendapatan syarikat semakin meningkat. Pendapatan 3Ren pada tahun 2023 adalah sebanyak RM94.89 juta dan keuntungan sebelum cukai direkodkan sebanyak RM14.74 juta.
Margin keuntungan bagi tahun 2023 adalah sebanyak 12.22%.
7. Kekuatan Kompetitif 3REN Berhad
- Mempunyai pelbagai penyelesaian dan perkhidmatan yang saling melengkapi dan mampu memenuhi keperluan pelbagai industri serta keperluan pembuatan
- Memperoleh projek/pesanan daripada pelbagai pelanggan, kebanyakannya terdiri daripada syarikat multinasional
- Mempunyai pasukan pengurusan utama yang berpengalaman dan kukuh dari segi teknikal
- Berada dalam kedudukan yang baik untuk memanfaatkan prospek positif industri yang sedang terlibat
8. Pelan Masa Hadapan
- Memperkukuhkan keupayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D)
- Menubuhkan pusat pengedaran yang baru
- Membina pejabat baru di Singapura untuk menembusi pasaran di sana
9. Polisi Dividen Syarikat
3REN Berhad tidak mempunyai sebarang polisi dividen yang formal setakat ini. Pada tahun 2023, sebanyak RM10 juta dividen telah dibayar kepada para pemegang saham.
10. Status Syariah
Tanpa perlu ragu-ragu, IPO ini telah disahkan patuh syariah oleh Majlis Penasihat Syariah Malaysia.
Baca juga: Mohon IPO Melalui Broker CGS (Dulu Dikenali CGS-CIMB) Jom Ikut Tutorial Ini
Khas untuk pelanggan CGS MY, semak info IPO akan datang semak sini.
Sumber: Prospektus