KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) — Sime Darby Bhd telah mengumumkan rancangannya untuk melupuskan perniagaan hospital dan tanah seluas 3,237.46 hektar di Labu, Negeri Sembilan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Datuk Jeffri Salim Davidson.
Beliau berkata ia bertujuan untuk mengurangkan peminjaman Sime Darby berikutan pengambilalihan 61.2 peratus kepentingannya dalam UMW Holdings Bhd daripada Permodalan Nasional Bhd (PNB) pada harga RM3.57 bilion.
Langkah adalah salah satu perjanjian penggabungan dan pengambilalihan terbesar di Malaysia, secara strategik akan mengubah Sime Darby menjadi pemain automotif terkemuka di negara ini dengan penambahan Toyota dan Perodua, menguasai sehingga 60 peratus daripada jumlah keseluruhan industri automotif domestik.
Kumpulan itu menjangkakan untuk menyelesaikan pengambilalihan tersebut pada akhir Februari 2024.
“Sime Darby sebelum ini telah melupuskan beberapa perniagaan bukan terasnya kecuali hospital. Hospital juga perniagaan bukan teras, sebab itu ia sebahagian daripada pelupusan,” katanya pada taklimat media mengenai keputusan suku keempat Sime Darby hari ini.
Jeffri berkata ia adalah dua aspek penting, manakala terdapat entiti lain yang lebih kecil dalam portfolio syarikat yang tidak memberi kesan ketara kepada prestasi keseluruhan syarikat.
Sime Darby ketika ini mempunyai usaha sama dengan Ramsay Healthcare, dikenali sebagai Ramsay Sime Darby Healthcare (RSDH), iaitu 50 peratus dimiliki oleh Sime Darby dan 50 peratus lagi dimiliki oleh Ramsay Healthcare.
Usaha sama tersebut merangkumi tujuh hospital di Malaysia dan Indonesia yang mempunyai sebanyak 1,500 katil berlesen.
Sementara itu, Sime Darby Bhd dalam satu kenyataan yang berasingan telah mengumumkan keuntungan bersih RM1.46 bilion bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023, meningkat 32.2 peratus daripada RM1.1 bilion yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lepas.
Prestasi yang lebih baik adalah disebabkan kebanyakannya oleh hasil yang lebih baik daripada bahagian perindustriannya kerana operasi di Australasia menghasilkan keuntungan yang lebih tinggi daripada perniagaan permotoran di Malaysia dan keuntungan menerusi pelupusan hartanah di Hong Kong.
Konglomerat itu berkata juga meningkat 13.6 peratus kepada RM48.3 bilion pada tahun kewangan 2023 berbanding RM42.5 bilion pada tahun kewangan 2022.
Bagi suku keempat berakhir 30 Jun 2023 (suku keempat, tahun kewangan 2023), keuntungan bersih kumpulan melonjak kepada RM622 juta daripada RM278 juta pada suku yang sama tahun kewangan lepas, manakala hasil bagi suku dalam tinjauan meningkat 22.4 peratus kepada RM13.3 bilion berbanding RM10.9 bilion pada suku keempat tahun kewangan 2022.
Sime Darby juga mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 10 sen sesaham untuk suku keempat tahun kewangan 2023, ia akan dibayar pada 29 September 2023.
— BERNAMA
Baca juga: Sime Darby Beli 61.2 Peratus Kepentingan Dalam UMW Holdings Pada RM3.57 Bilion




