“Biasa dengar Breakout sahaja, Breakaway Gap ini apa pula?”
Breakaway Gap adalah istilah yang digunakan dalam analisis teknikal apabila wujud pergerakan atau kenaikan harga yang kuat terhadap sesuatu saham. Istilah “gap” atau jurang adalah perbezaan antara harga penutupan hari sebelumnya dengan harga pembukaan pada hari berikutnya.
Breakaway Gap ini biasanya dilihat sebagai tanda awal sesuatu saham itu akan meneruskan kenaikan harga yang berterusan pada hari-hari berikutnya. Syaratnya adalah Breakaway Gap tersebut perlu disokong dengan volume yang tinggi.
Jika tidak, ada besar kemungkinan Gap tersebut gagal membuat Breakout yang sepatutnya dan tidak akan meneruskan kenaikan pada hari-hari berikutnya.
Beza Breakaway Gap Dengan Breakout Biasa
Breakout biasa adalah apabila harga sesuatu saham berjaya memecahkan garisan rintangan yang sedia ada dan membuat sebarang jurang harga yang ketara. Contohnya seperti carta saham dibawah.
Bezanya dengan Breakaway Gap adalah jurang yang ketara antara harga pembukaan dan harga penutup pada hari sebelumnya. Breakaway Gap ini juga perlu disokong dengan volume dagangan yang tinggi atau lebih tinggi berbanding purata volume yang sedia ada. Contohnya adalah seperti carta saham dibawah.
Harga saham ini membuat jurang yang sangat ketara seperti dalam bulatan merah dan disokong dengan jumlah volume yang tinggi.
Sama juga dengan carta saham kedua ini, harga saham ini dibuka dengan jurang yang ketara dan disokong dengan volume yang tinggi seperti dalam bulatan merah di atas.
Selepas Breakaway Gap, Harga Akan Terbang?
Breakaway Gap yang disokong dengan volume dagangan yang tinggi adalah salah satu tanda yang harga saham ini akan melakukan Reversal ataupun Continuation Price Movement.
Apabila harga saham ini membuat gap dan memecahkan garisan resistance yang terdekat, arah harga saham ini biasanya akan terus membuat kenaikan untuk tempoh masa tertentu.
Maksudnya, selepas berlakunya Breakaway Gap ini, harga saham biasanya akan meneruskan kenaikan pada hari-hari berikutnya untuk tempoh masa tertentu.
Kenapa Berlakunya Breakaway Gap Ini?
Gap atau jurang harga saham ini berlaku kerana banyak sebab. Sebab yang biasanya menyebabkan gap ini berlaku adalah berita atau sentimen positif semasa yang sangat dekat dengan syarikat tersebut.
Ini menyebabkan ramai pelabur dan pedagang berebut-rebut untuk memiliki saham tersebut sehingga harga pembukaan saham tersebut naik lebih tinggi berbanding harga yang ditutup pada hari sebelumnya.
Kesimpulan
Breakaway Gap ini boleh dijadikan salah satu indikator kepada pelabur dan pedagang untuk membeli saham berdasarkan pemerhatian analisis teknikal. Tapi ingat bahawa ianya tidak semestinya menjadi dan anda perlu rajin mencari saham-saham yang membuat Breakaway Gap ini.
Breakaway Gap ini juga boleh terjadi sebaliknya apabila gap atau jurang yang berlaku adalah jurang kejatuhan harga sesuatu saham.
Jika harga saham dibuka rendah berbanding harga penutup hari sebelumnya dan tembus garisan support yang terdekat, biasanya arah pergerakan harga saham ini akan membuat fasa penurunan pada hari-hari berikutnya.
Belajar sesuatu daripada artikel ini? Jangan lupa kongsikan artikel ini supaya lebih ramai mendapat manfaatnya.