KUALA LUMPUR, 22 Mac (Bernama) — Unisem (M) Bhd akan memulakan pembinaan kilang pengeluaran semikonduktor baharunya di tanah perindustrian seluas 11.53 hektar di Gopeng, Perak dengan fasa satu kilang berkenaan dijangka siap pada April 2023 dan melibatkan kos dalam anggaran RM300 juta.
Syarikat itu berkata sebaik siap dan dilengkapi dengan peralatan canggih terkini, kilang itu akan membolehkan Unisem memenuhi keperluan pelanggannya dengan lebih baik dengan portfolio produk dan perkhidmatan yang luas.
“Ia juga akan membolehkan Unisem menggandakan kapasiti pengeluaran operasi sedia ada di Ipoh,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia sempena majlis pecah tanah hari ini.
Pengerusi dan Pengarah Urusan kumpulan John Chia Sin Tet berkata pembinaan kilang utama di Gopeng itu mencerminkan misi lembaga bahawa Malaysia kekal sebagai destinasi penting dalam rantaian bekalan semikonduktor global.
“Kilang Gopeng itu akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bernilai tinggi untuk rakyat Malaysia di samping menyumbang kepada eksport negara,” katanya.
— BERNAMA




