KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) — Sentimen di Bursa Malaysia dijangka meningkat secara perlahan-lahan di tengah-tengah kecairan yang bertambah baik susulan aliran masuk dana asing, kata Rakuten Trade Sdn Bhd.
“Kami percaya dana asing akan terus mendapatkan kaunter berkaitan indeks; jadi kami menyasarkan 1,700 sebagai sasaran akhir tahun kami bagi 2022 bersandarkan kepada nisbah harga-pendapatan pasaran 14 kali walaupun akan ada cukai kemakmuran sekali sahaja yang mungkin mengurangkan pertumbuhan pendapatan tahun 2022 sebanyak 1-2 peratus.
“Walaupun pertumbuhan pendapatan tahun 2022 kelihatan kurang memberangsangkan, kami percaya sektor perbankan dan juga perladangan akan memberikan kejutan baik kepada kita.
“Bagi tahun 2023, kami menjangkakan pertumbuhan pendapatan melantun semula kepada 7.2 peratus,” kata ketua penyelidikan Rakutan Trade Kenny Yee Shen Pin dalam pembentangannya semasa taklimat media secara maya mengenai prospek pasaran suku pertama 2022 oleh pasukannya hari ini.
Yee berkata pasukannya mengunjurkan ringgit mengukuh berbanding dolar AS di tengah-tengah pemulihan harga minyak mentah serta dengan jangkaan kembalinya semula dana asing.
“Keseluruhannya, kami menjangkakan ringgit diniagakan sekitar 4.10/4.15 berbanding dolar AS pada penghujung tahun ini,” katanya.
— BERNAMA




