KUALA LUMPUR, 28 Feb (Bernama) — Siab Holdings Bhd meraih RM36.72 juta daripada pelaksanaan tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia untuk menempatkan syarikat dalam industri pembinaan untuk membida projek bernilai lebih tinggi.
Pengarah Urusan Ng Wai Hoe berkata Siab bersedia untuk mengambil projek yang lebih besar dalam segmen kediaman dan bukan kediaman.
“Pasukan pengurusan kami yang dinamik menyasarkan untuk mengukuhkan reputasi jenama dan rekod prestasi kami yang kukuh yang akan melonjakkan Siab ke peringkat seterusnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Penyedia perkhidmatan pembinaan bangunan itu mula disenaraikan hari ini di Pasaran ACE, serta saham tersebut dikategorikan di bawah sektor pembinaan dan membawa nama saham SIAB dan kod saham 0241.
Daripada hasil tersebut, Siab memperuntukkan RM6.1 juta untuk pembelian tanah dan pembinaan kemudahan penyimpanan, RM13.13 juta untuk pembelian mesin dan peralatan serta RM3.07 juta untuk pembelian perisian sistem model maklumat binaan.
Selain itu, Siab akan menggunakan RM0.81 juta untuk menaik taraf perisian dan sistemnya, RM0.30 juta untuk membesarkan pejabat dan RM9.30 juta untuk modal kerja manakala baki RM4.0 juta akan diperuntukkan untuk perbelanjaan penyenaraian.
M&A Securities Sdn Bhd merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk penyenaraian ini.
— BERNAMA




