KUALA LUMPUR, 28 Feb (Bernama) — Syarikat tenusu Malaysia, Farm Fresh Bhd menyasarkan hasil RM1 bilion dan permodalan pasaran RM2.5 bilion selepas penyenaraiannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia berdasarkan harga runcit awal RM1.35 sesaham.
Hasil untuk syarikat kira-kira RM301.0 juta akan digunakan untuk mewujudkan hab pembuatan baharu, ladang tenusu dan kemudahan pemprosesan bersepadu di Malaysia, pengembangan kemudahan pengeluaran di Australia, pengembangan serantau di luar Malaysia serta sebagai modal kerja dan perbelanjaan penyenaraian.
Tawaran awam awal, dalam usaha penyenaraian pada 22 Mac nanti, telah memperoleh sokongan daripada 30 pelabur yang terlebih dahulu komited untuk melabur sejumlah tetap wang, menurut Farm Fresh dalam kenyataan yang dikeluarkan sempena pelancaran prospektusnya pada Isnin.
Pelabur tersebut ialah Abrdn, Affin Hwang Asset Management, AIA, Alcea Rosea (Creador), Barings Singapore, Eastsprings Investments, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Fortress Capital Asset Management, Franklin Templeton Asset Management (Malaysia) dan Great Eastern Life Assurance (Malaysia).
Ia menambah, Hong Leong Asset Management, Hong Leong Assurance, JPMorgan Asset Management (Singapore), KAF Investment Funds, Kenanga Investors, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan), Lembaga Tabung Haji, Manulife Investment Management serta Maybank Asset Management juga merupakan kalangan pelaburnya.
Antara pelabur lain termasuk Merit Glory (Ikhlas Capital), New Silk Road Investment, OAKS Emerging Umbrella Fund, Permodalan Nasional Bhd, Principal Asset Management, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), UBS Asset Management (Singapore), UOB Asset Management (Malaysia), Urusharta Jamaah, Value Partners Hong Kong dan Zurich Life Insurance Malaysia.
Pelabur-pelabur ini akan membeli kira-kira 80 peratus daripada bahagian tawaran institusi di bawah IPO tersebut.
Modal saham dibesarkannya akan mencecah 1.86 bilion saham susulan penyenaraian.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Loi Tuan Ee berkata selepas penyenaraian, Farm Fresh akan melaksanakan rancangan untuk memperluas penguasaan pasarannya serta meningkatkan jualan di peringkat tempatan dan antarabangsa.
“Menerusi langkah mengoptimumkan pertumbuhan, kami berusaha untuk memberi ganjaran kepada pemegang saham kami melalui dasar dividen yang diterima pakai yang menyasar untuk mengembalikan 25 peratus daripada keuntungan tahunan kami kepada pemegang saham,” katanya dalam sidang media.
Loi said sebagai peserta terbesar dalam susu sedia untuk diminum, Farm Fresh berkedudukan baik untuk memanfaatkan permintaan kukuh pengguna yang berterusan terhadap produk susu segar selain menangani ketidakcukupan pengeluaran susu tempatan yang berlaku pada masa ini.
Farm Fresh sedang merancang untuk meneroka pasaran baharu seperti Filipina dan Indonesia di samping memperkukuh operasi di Hong Kong menerusi langkah mengeksport lebih banyak produk, katanya.
“Apa yang kami rancang di negara-negara ini pada asasnya adalah untuk mempunyai kilang pemprosesan pada peringkat awal dan kemudian membina jenama bagi kategori segar,’’ katanya.
Beliau berkata bahan utama masih akan diperoleh dari Australia.
Pada masa ini, kenaikan kos makanan haiwan seperti jagung dan kacang soya, serta bahan api masih boleh urus, katanya.
“Kami berharap rantaian bekalan akan bertambah baik menjelang akhir tahun dan harga komoditi akan rendah,” katanya.
Loi berkata Farm Fresh juga bercadang untuk melaksanakan aktiviti hiliran dan mengeluarkan produk akhir di luar Australia.
Beliau berkata di peringkat domestik, ia sedang mempertimbangkan rasionalisasi kilang, dengan kilang di Taiping, Perak dijangka beroperasi pada akhir tahun ini dan akan membekalkan produk susu segar kepada pasaran utara Malaysia.
Pada masa ini, semua produk untuk pasaran utara Malaysia dibekalkan oleh kilang di Muadzam Shah, Pahang dan Johor, katanya,
Beliau berkata apabila kilang di Taiping beroperasi, kapasiti keluar di kilang Johor akan dieksport ke Singapura.
Berasaskan sokongan daripada Khazanah Nasional Bhd, syarikat itu kini mengoperasikan lima ladang tenusu di Malaysia dan sebuah lagi di Australia, meliputi kira-kira 2,185 hektar, dengan saiz kumpulan sekitar 9,960 lembu tenusu dan lembu jantan.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2019 hingga 31 Mac, 2021 kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) dari segi perolehan syarikat ini adalah 65.9 peratus, daripada RM178.2 juta kepada RM490.5 juta.
— BERNAMA




