KUALA LUMPUR, Feb 16 (Bernama) — Batu Kawan Bhd mencatatkan keuntungan bersih tinggi sebanyak RM330.73 juta pada suku pertama tahun kewangan berakhir 30 Sept, 2022 (S1 TK2022) daripada RM191.35 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Hasil bagi suku tersebut naik kepada RM7.10 bilion daripada RM4.43 bilion sebelumnya, kata syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Batu Kawan berkata segmen perladangan mencatatkan keuntungan lebih daripada berganda kepada RM623.58 juta (S1 TK2021: RM253.85 juta) manakala hasil meningkat 89.3 peratus kepada RM1.15 bilion (S1 TK2021: RM608.97 juta) berikutan harga jualan minyak sawit mentah (MSM) dan isirung sawit yang tinggi dan sumbangan keuntungan daripada anak syarikat yang baru diambil alih.
“Memandangkan harga MSM yang tinggi bersama dengan sumbangan keuntungan daripada anak syarikat yang baru diambil alih, segmen perladangan kumpulan dijangka terus mencatatkan prestasi kukuh bagi TK2022,” katanya.
— BERNAMA




