KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) — Bursa Malaysia Bhd, sebagai sebahagian daripada inisiatif perkhidmatan awamnya yang berterusan, menggesa orang ramai supaya berhati-hati dan peka terhadap penipuan pelaburan dalam talian.
Katanya sindiket penipuan biasanya cuba menarik orang ramai untuk menyertai skim dan aktiviti pelaburan dalam talian yang meragukan dengan menyamar sebagai institusi kewangan yang sah.
“Dalam situasi tertentu, sindiket penipuan turut mendakwa mewakili bursa dengan menyalahgunakan logo Bursa Malaysia untuk mengukuhkan dakwaan mereka atau menjalankan transaksi tanpa lesen,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bursa menjalankan program pendidikan pelabur sepanjang tahun untuk mendidik pelabur runcit dan orang ramai mengenai penipuan pelaburan dan kewangan selain mempromosikan celik kewangan.
Pada 2021, ia menjalankan 39 program yang dihadiri oleh 8,511 peserta. Ia kerap memaparkan kemas kini mengenai amaran penipuan terkini di saluran media sosialnya.
Bursa Malaysia turut mengingatkan orang ramai supaya hanya melabur dengan rakan kongsi yang berlesen.
Orang ramai boleh melihat senarai terkini laman web, produk pelaburan, syarikat dan individu yang tidak bertauliah, di: https://bursaacademy.bursamarketplace.com/en/sc-investor-alert
Selain itu, ia mencadangkan pelabur untuk mematuhi langkah-langkah pencegahan berikut:
• Semak sama ada transaksi itu sah sebelum membuat sebarang pembayaran
• Simpan maklumat peribadi anda
• Elak membalas e-mel, panggilan atau mesej teks yang mencurigakan
• Elak pautan atau lampiran laman web yang mencurigakan yang boleh membahayakan peranti anda dengan virus
• Menjelaskan kesahihan sesuatu pelaburan dengan pihak berkuasa yang berkaitan seperti Bursa Malaysia atau Suruhanjaya Sekuriti Malaysia
• Melaporkan kepada pihak berkuasa jika anda telah diganggu atau diberi tekanan untuk membuat transaksi atau pelaburan yang mencurigakan
Orang ramai boleh menghubungi Bursa Malaysia di 03-2732 0067 atau e-mel kepada [email protected] untuk mengesahkan kandungan mana-mana komunikasi sedemikian.
— BERNAMA




