KUALA LUMPUR, 29 Nov (Bernama) — Sime Darby Bhd mencatatkan keuntungan bersih yang lebih rendah kepada RM236 juta pada suku pertama berakhir 30 Sept, 2021 daripada RM281 juta pada suku yang sama tahun lepas.
Perolehan turut menyusut kepada RM10.67 bilion pada suku pertama berbanding RM18.88 bilion yang dicatatkan sebelum ini berikutan operasi perindustriannya di China menanggung impak kemerosotan aktiviti pembinaan pada suku berkenaan, katanya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.
Bagaimanapun, kumpulan terpelbagai itu berkata operasi motornya di China kekal mencatatkan keputusan yang kukuh dengan jualan kenderaan mewah yang lebih tinggi.
“Operasi perindustrian dan motor di semua pasaran lain merekodkan prestasi yang baik berikutan kebanyakannya terlibat dalam beberapa bentuk sekatan pergerakan dalam tempoh dua bulan pertama pada suku itu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Datuk Jeffri Salim Davidson mengumumkan kumpulan itu telah menyelesaikan pengambilalihan Salmon Earthmoving Holdings di Australia pada Oktober.
“Ia bukan sahaja menyumbang antara RM150 juta dan RM180 juta kepada perolehan kumpulan bagi tahun kewangan 2022, malah turut memastikan kepelbagaian kami dalam sektor sewaan pembinaan dan pasaran baharu di New South Wales, Australia.
“Kami akan terus meninjau peluang pertumbuhan selanjutnya dan akan menguruskan kecekapan operasi kami bagi mengurangkan sebarang impak yang diakibatkan oleh faktor luaran,” katanya.
— BERNAMA




