KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) — Kobay Technology Bhd (Kobay) bercadang melaksanakan penempatan persendirian sehingga 10 peratus daripada saham terbitannya untuk mengumpul RM153.14 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia bagi pihak syarikat hari ini, RHB Investment Bank Bhd berkata Kobay merancang menggunakan hasil yang dikumpulkan itu terutamanya bagi membiayai kilang pembuatan produk aluminium baharunya, pembayaran balik sebahagian pinjaman bank serta sebagai modal kerja bagi bahagian pembuatan kumpulan berkenaan.
“Sehingga 29 Okt, 2021, syarikat itu mempunyai modal saham terbitan sebanyak RM102.103 juta, terdiri daripada 306.28 juta saham Kobay,” katanya.
Kumpulan Kobay terlibat terutamanya dalam pembuatan komponen mesin ketepatan, bahagian kepingan logam, rawatan permukaan, acuan ketepatan, perkakas dan acuan, peralatan pemasangan dan ujian semikonduktor, kerja dan struktur logam, modul dan bahagian untuk peralatan pengeluaran dan pengekstrakan minyak dan gas.
Kumpulan itu turut merancang menceburi ke dalam pembuatan produk aluminium seperti bingkai aluminium untuk panel solar bagi kegunaan perniagaan berkaitan tenaga boleh diperbaharui.
— BERNAMA




