KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) — Kelington Group Bhd (KGB) dijangka mencatat pemulihan pendapatan lebih kukuh pada tahun kewangan 2021, didorong oleh nilai kontrak dalam tangan yang mencecah angka tertinggi selain faktor kekurangan wafer serta usaha semikonduktor China di peringkat tempatan.
Kenanga Investment Bank Research (Kenanga Research) dalam nota penyelidikannya hari ini berkata laporan berita mengenai vaksin COVID-19 yang dihasilkan oleh firma farmaseutikal Amerika Syarikat, Pfizer, baru-baru ini juga dilihat sebagai perkembangan positif yang memberi sokongan terhadap KGB.
“Kami percaya kilang ais kering KGB akan menyaksikan peningkatan permintaan apabila syarikat-syarikat farmaseutikal saling mengumpulkan bahan itu bagi tujuan penyimpanan vaksin masing-masing.
“Lebih penting lagi, dengan adanya vaksin sedemikian akan membuka jalan bagi pembukaan semula ekonomi yang turut membantu melancarkan usaha KGB,” katanya.
Media kewangan Bloomberg melaporkan, vaksin COVID-19 yang dihasilkan oleh Pfizer terbukti mencapai keberkesanan sehingga 90 peratus.
“Tidak kurang menariknya, kami turut difahamkan bahawa vaksin ini perlu disertakan bersama ais kering bagi memastikan suhunya di bawah -70°C bagi mengekalkan keberkesanan secara optimum.
“Atas alasan ini, menurut laporan NBC News, permintaan terhadap ais kering meningkat khuusnya daripada kalangan syarikat-syarikat farmaseutikal yang sedang berusaha menghasilkan vaksin selain bagi tujuan penghantaran makanan,” katanya.
Berikutan itu, kata Kenanga Reseach, KGB yang mempunyai kilang ais kering di Shah Alam, Selangor, berada pada kedudukan baik untuk mendapat manfaat susulan lonjakan permintaan terbabit.
Pada masa sama, ia juga percaya bahawa kemenangan Joe Biden dalam pilihan raya presiden akan meredakan sentimen terhadap Semiconductor Manufacturing International Corp (SMIC).
Selain itu, Kenanga Research menetapkan saranan ‘outperform’ terhadap KGB dengan harga sasaran pada RM1.92.
Pada 11.06 pagi ini, saham-saham KGB naik 7.35 peratus dengan sejumlah 5.35 juta saham saling berpindah tangan.
— BERNAMA