KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) – Belanjawan 2021 bertujuan untuk mengimbangi keperluan dan kapasiti penjagaan kesihatan di samping memacu momentum pemulihan ekonomi semasa serta membina daya tahan yang lebih baik untuk masa hadapan, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Menurut beliau, Belanjawan 2021 dirangka berteraskan empat tema utama iaitu menjaga kebajikan rakyat, memacu pertumbuhan ekonomi, melestarikan kehidupan dan memantapkan penyampaian perkhidmatan awam.
“Kerajaan akan meneruskan inisiatif bersasar bagi melindungi nyawa dan kehidupan di samping mengutamakan golongan mudah terjejas,” katanya dalam Laporan Tinjauan Ekonomi 2021 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan di sini hari ini.
Tengku Zafrul berkata kerajaan juga berharap dapat bekerjasama rapat antara agensi kerajaan, sektor swasta dan masyarakat sivil bagi memangkin trajektori pertumbuhan yang lebih lestari mulai 2021 dan seterusnya.
Bagi peluang pertumbuhan ekonomi, Tengku Zafrul menjelaskan penularan COVID-19 telah mendorong kepada penggunaan digitalisasi yang lebih pantas dalam sektor perniagaan dan pendidikan dan masyarakat.
Beberapa kajian telah menganggarkan nilai ekonomi faedah perdagangan digital boleh meningkatkan ekonomi Malaysia sebanyak RM222 bilion pada 2030 berbanding RM31 bilion pada 2019.
“Pendigitalan merupakan trajektori pertumbuhan baharu bagi pelbagai industri berasaskan perkhidmatan dan sektor sokongan seperti elektrik dan elektronik, e-dagang dan ekonomi gig.
“Potensi besar lain termasuk bidang penjagaan kesihatan dan sektor sampingan yang berkaitan. Produk, perkhidmatan dan peralatan perubatan dijangka berkembang pada tahun mendatang,” kataTengku Zafrul.
Fundamental ekonomi negara masih kukuh dengan kepelbagaian asas ekonomi yang baik dan masih mempunyai kedudukan fiskal yang teguh.
Oleh itu, ekonomi negara dijangka berkembang sehingga 7.5 peratus pada tahun 2021.
— BERNAMA