KUALA LUMPUR, 21 Dis (Bernama) — Syarikat pembinaan, Gamuda Bhd mencatatkan keuntungan bersih lebih tinggi berjumlah RM152.37 juta pada suku pertama berakhir 31 Okt, 2021 daripada RM110.3 juta bagi tempoh yang sama pada tahun kewangan sebelumnya.
Perolehan susut kepada RM747.11 juta daripada RM763.95 juta bagi tempoh yang sama.
“Pendapatan syarikat meningkat 38 peratus didorong pendapatan lebih kukuh daripada semua bahagian susulan kerja-kerja di semua bahagian terus meningkat disokong langkah kawalan ketat COVID-19 oleh syarikat,” menurutnya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Selasa.
Gamuda menambah, dalam melangkah maju, daya tahan syarikat disokong oleh nilai perolehan kontrak pembinaan dalam tangan berjumlah RM3.8 bilion dan jualan hartanah belum dibilkan pada RM4.9 bilion.
“Selain itu, syarikat merekodkan lembaran imbangan yang baik dengan tahap kadar hutang yang rendah 0.2 kali dan kedudukan tunai yang kukuh,” jelasnya.
Dalam kenyataan berasingan, Gamuda mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak enam sen sesaham bagi tahun kewangan 2022.
— BERNAMA