Untuk pengetahuan semua, seluruh rakyat Amerika Syarikat bakal memilih parti dan presiden mereka pada tanggal 5 November tahun ini.
Jika di dalam tinju, perlawanan semula atau rematch boleh kita saksikan. Pilihan raya Amerika Syarikat 2024 tahun ini bakal menyaksikan lawan yang sama untuk merebut jawatan Presiden Amerika iaitu Joe Biden melawan Donald Trump.
Pada pilihan raya 2020 yang lepas, dua individu ini turut bertanding pilihan raya untuk merebut jawatan presiden dan Biden telah menang pilihan raya tersebut.
Debat Presiden Amerika Syarikat
Debat Presiden Amerika Syarikat atau lebih dikenali sebagai US Presidential Debate adalah debat awam yang diadakan sebelum pilihan raya umum Amerika Syarikat diadakan. Kebiasaannya, debat ini akan diadakan sebanyak tiga sesi dan seorang wakil daripada setiap dua parti besar akan bertemu di hadapan khalayak ramai untuk berdebat ideologi parti masing–masing, seperti wakil Parti Republik; Donald Trump dan Joe Biden pula mewakili Parti Demokrat.
Biden dan Trump sama-sama bersetuju untuk berdebat sebanyak dua kali, yang pertama bakal diadakan pada 27 Jun di CNN.
Debat kedua pula dijangka akan berlangsung pada 10 September 2024.
Apa Yang Perlu Dijangka?
Sebagai pelabur saham, kita pastinya ingin tahu pendirian calon presiden terhadap pelbagai perkara contohnya seperti ekonomi, cukai, hubungan dengan China dan banyak lagi. Setiap Keputusan presiden Amerika pastinya memberi impak terhadap ekonomi negara tersebut serta sedikit sebanyak memberi kesan terhadap negara lain.
Ekonomi
Joe Biden
Polisi ekonomi Joe Biden mempunyai namanya tersendiri iaitu “Bidenomics”. Biden membina ekonomi Amerika menggunakan kaedah bottom-up. Bidenomics memfokuskan terhadap infrastruktur, pembinaan, tenaga boleh diperbaharui, dan menambahkan peluang pekerjaan. Data menunjukkan pertumbuhan ekonomi yang kukuh dan banyak peluang pekerjaan baru di bawah pimpinan beliau. Namun, rakyat Amerika juga sedang melawan inflasi yang tinggi terutamanya terhadap makanan dan petrol.
Donald Trump
Trump menyalahkan Biden ke atas inflasi yang tinggi serta berikrar akan kembali dengan agenda menurunkan cukai serta melonggarkan peraturan. Selain itu, beliau juga akan menukar pengerusi Federal Reserve, Jerome Powell yang beliau sendiri lantik ketika menjadi presiden dan kini dianggap sebagai terlalu politik.
Cukai
Joe Biden
Presiden Biden menyokong peningkatan kadar cukai pendapatan korporat kepada 28%, mendekatkan kepada kadar 35% yang berlaku sebelum pentadbiran Trump. Beliau juga mencadangkan untuk menetapkan kadar cukai yang lebih tinggi kepada golongan kaya Amerika, mengetatkan pematuhan cukai, dan memperluaskan kredit cukai untuk pendapatan rendah dan keluarga. Beliau baru-baru ini meningkatkan tarif yang dikenakan ke atas China yang diperkenalkan oleh Trump, termasuk cukai 100% ke atas kenderaan elektrik China.
Donald Trump
Trump berjanji untuk memberikan pemotongan cukai jika beliau kembali. Sehubungan dengan itu, beliau juga akan melanjutkan pemotongan cukai pendapatan yang akan tamat tempoh tidak lama lagi, bersama dengan pelepasan cukai harta dan kekayaan dari undang-undang yang beliau tandatangani pada tahun 2017.
Beliau akan mengekalkan kadar cukai pendapatan korporat pada 21% dan mencadangkan cukai 10% yang universal ke atas semua import Amerika Syarikat, serta cukai 60% ke atas import dari China.
Hubungan dengan China
Joe Biden
Biden menggelar presiden China sebagai diktator. Biden melihat China lebih kepada ancaman sekuriti negara berbanding Trump yang melihat China sebagai ancaman perdagangan dan ekonomi. Walaubagaimanapun, Biden turut telah meningkatkan tarif terhadap kenderaan elektrik, sel solar, produk besi dan aluminum dan banyak lagi.
Donald Trump
Trump ingin mengenakan tarif yang tinggi terhadap China. Sekiranya dipilih, Trump berikrar akan mengenakan cukai setinggi 60% terhadap barangan dari China. Trump juga bercadang untuk melancarkan pelan empat tahun yang akan membantu sektor pembuatan agar negara tersebut tidak perlu terlalu bergantung kepada China bagi produk yang penting.
Kesimpulan
Tidak kisah siapa yang bakal duduk di kerusi presiden Amerika, apa yang kita harapkan adalah individu tersebut perlu menjalankan tanggungjawabnya dengan baik, menguruskan hubungan luar negara dengan baik serta membantu pertumbuhan ekonomi Amerika yang secara tidak langsung akan meningkatkan pertumbuhan pasaran saham di negara tersebut.
Sumber: