KUALA LUMPUR, 8 Nov (Bernama) — Perbadanan Pengurusan Kecairan Islam Antarabangsa (IILM) hari ini mengumumkan penerbitan semula sukuk berjangka pendek A-1 bernilai US$1.12 bilion (US$1=RM4.73) dalam tiga siri.
Ketiga-tiga siri itu merangkumi terbitan sebanyak US$450 juta bagi tempoh satu bulan pada 4.02 peratus, US$370 juta tenor tiga bulan pada 4.78 peratus dan US$300 juta tenor enam bulan pada 5.10 peratus.
“Terbitan sukuk itu hari ini merupakan lelongan sukuk ke-12 IILM bagi 2022. Lelongan itu mendapat minat yang ketara di kalangan pengedar dan pelabur utama Islam di seluruh pasaran GCC serta Asia, dengan permintaan yang kukuh terutamanya pada tenor satu dan enam bulan.
“Tender kompetitif itu menyaksikan jumlah tempahan yang mantap melebihi US$1.71 bilion, mewakili purata nisbah bidaan kepada penutup sebanyak 153 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Lanjutan daripada penerbitan semula hari ini, IILM telah mencapai terbitan kumulatif setakat ini berjumlah US$12.67 bilion merangkumi 34 siri sukuk.
— BERNAMA