KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) — Dua firma teknologi terkemuka, Huawei Malaysia dan Vimigo Performance Reward System bekerjasama untuk memacu pendigitalan dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia.
Dalam kenyataan, Huawei Malaysia berkata kerjasama dengan Vimigo tertumpu terutamanya kepada penggunaan sumber transformasi digital PKS di Malaysia, memastikan mereka boleh beralih kepada 5G dengan lancar untuk sama-sama mewujudkan platform rangkaian perniagaan digital.
Kedua-duanya telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk mewujudkan kerjasama rentas sempadan yang strategik, dengan harapan untuk mempercepatkan transformasi PKS dan memacu mereka untuk pencapaian yang lebih besar.
Ketua Pembangunan Perniagaan, Unit Perniagaan Awan Huawei Malaysia Roy Hu Haihua berkata dengan peningkatan penggunaan data dan kemasukan trafik yang besar berikutan pertumbuhan pelanggan, Huawei Cloud menyediakan infrastruktur yang sesuai untuk sistem Vimigo yang membolehkan pertumbuhan, daya tahan dan fleksibiliti.
“Huawei Cloud sentiasa berhasrat untuk bekerjasama dengan firma terkemuka dalam pelbagai industri di Malaysia berikutan bekerjasama dengan perusahaan sedemikian merupakan satu-satunya cara untuk mencapai impak yang besar dari segi memacu teknologi digital,” katanya.
Vimigo Performance Reward System ialah peneraju dalam model perniagaan dan transformasi teknologi digital dalam kalangan PKS di Malaysia, dengan lebih 700 pengguna perusahaan.
“Menggabungkan pelaburan tinggi Huawei dalam sumber teknikal dengan instrumen ganjaran prestasi kelas pertama Vimigo, kerjasama ini sudah tentu akan menjadikan PKS kita cemerlang di persada dunia,” kata Pengasas Vimigo Shane Mun.
— BERNAMA




