KUALA LUMPUR, 21 Dis (Bernama) — Eksport industri kayu meningkat 3.4 peratus pada 2021 kepada RM20.4 bilion berikutan pemulihan daripada pandemik, didorong oleh keluaran kayu perkilangan dan pertanian, menurut Jabatan Perangkaan.
Dalam kenyataan hari ini, katanya eksport keluaran kayu perkilangan merangkumi 81.3 peratus daripada eksport industri perkayuan pada tahun lepas dengan nilai RM16.6 bilion manakala keluaran kayu pertanian meliputi 18.7 peratus atau RM3.8 bilion.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata sejak 32 tahun lepas, trend eksport produk industri perkayuan di negara ini dilihat tidak menentu dan pernah memuncak pada 2006 sebanyak RM22.9 bilion.
“Jepun adalah destinasi eksport utama bagi produk kayu Malaysia dengan menyumbang 30.1 peratus atau RM2.1 bilion pada 2021,” katanya.
Menurut Jabatan Perangkaan, import keluaran kayu pertanian turut menunjukkan trend peningkatan dengan purata kenaikan pada 11.2 peratus setahun bagi tempoh 1990 hingga 2021 bagi memenuhi permintaan input perantaraan susulan perkembangan industri pembuatan kayu.
Dari segi import, nilai import produk kayu Malaysia berjumlah RM3.2 bilion pada 2021, merekodkan peningkatan secara konsisten pada sepanjang tahun berbanding RM65.9 juta pada 1990.
Indonesia dan China merupakan negara asal utama bagi import produk kayu pada tahun lepas dengan masing-masing mencatatkan nilai RM700 juta dan RM600 juta, katanya.
Mohd Uzir berkata industri perabot Malaysia turut merekodkan perkembangan pesat dengan nilai eksport produk perabot berjumlah RM1.6 bilion dan menyumbang 2.0 peratus kepada jumlah eksport pada 1990.
“Ia dilihat melonjak kepada RM16.6 bilion pada 2021 meskipun menunjukkan trend yang tidak menentu. Purata kadar pertumbuhan tahunan produk ini untuk tempoh 1990 hingga 2021 adalah 7.9 peratus,” katanya.
Mohd Uzir berkata Amerika Syarikat, Jepun, Singapura, United Kingdom dan Australia merupakan lima negara destinasi utama bagi eksport perabot kayu Malaysia.
Selain itu, import produk perabot berjumlah RM5.7 bilion pada 2021 dengan China mendominasi sebagai negara asal utama perabot kayu lain sejak 2008.
— BERNAMA