KUALA LUMPUR, 20 Okt (Bernama) — Brahim’s Dewina Group of Companies melalui cabang perundingnya, Dewina Consult Sdn Bhd telah melancarkan Inspect System, sistem pendaftaran inovatif untuk maklumat ujian kendiri COVID-19 yang dapat digunakan oleh majikan dan organisasi untuk memudahkan pemantauan serta pengawasan yang lebih baik.
Objektif pelaksanaan sistem itu adalah untuk menggalakkan masyarakat melakukan ujian kendiri COVID-19 secara berkala dan mendaftarkan maklumat dengan mudah dan sistematik.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan, Datuk Seri Ibrahim Ahmad berkata sistem itu adalah yang pertama seumpamanya di pasaran Malaysia mengeluarkan sijil digital selepas menjalankan ujian kendiri, ia bagi melengkapkan sistem MySejahtera.
“Sistem tersebut pasti akan memberi manfaat kepada pelbagai pihak berkepentingan daripada pengguna dan majikan hingga penganjur acara dan sukan serta negara,” katanya pada majlis pelancaran Inspect System dan upacara menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan eMedAsia Sdn Bhd di sini hari ini.
Beliau berkata sistem itu hanya dapat digunakan dengan Kit Pengesanan Antigen COVID-19 Newgene Bioengineering daripada Dewina Consult.
“Kit berkenaan juga dilengkapi dengan QR Dewina dan kod pengesahan. Hasil ujian yang dinyatakan dalam sijil digital adalah sah selama tiga hari,” katanya.
Dewina Consult adalah pengimport dan pengedar sah untuk Kit Pengesanan Antigen COVID-19 Newgene Bioengineering di Malaysia.
Sementara itu, Dewina Consult telah menandatangani MoU dengan eMedAsia Sdn Bhd, usaha bersama dengan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) (melalui cabang pelaburannya Koop MAA) dan HS Bio Sdn Bhd, untuk mendigitalkan perkhidmatan penjagaan kesihatan primer di Malaysia.
Platform digital eMedAsia membolehkan klinik swasta, mendapatkan ubat, menyediakan perkhidmatan teleperubatan dan mengakses perkhidmatan lain yang berkaitan dengan penjagaan kesihatan.
Ibrahim berkata sinergi dengan eMedAsia dapat membantu mempromosikan Kit Pengesanan Antigen COVID-19 Newgene Bioengineering dengan Inspect System supaya tersedia melalui platform eMedAsia, terutama untuk 8,000 klinik anggota Koop MAA dan pelanggan di seluruh negara.
— BERNAMA




