Dalam pelaburan, kita perlu mempunyai objektif pelaburan tersendiri. Ada yang mengharapkan keuntungan daripada kenaikan harga saham yang dikenali sebagai capital gain. Ada juga yang lebih selesa memperolehi keuntungan dengan bayaran dividen yang diterima daripada syarikat yang dilaburkan, pelabur sebegini pula dikenali sebagai pelabur dividen.
Dividen adalah hasil daripada lebihan keuntungan syarikat yang diperolehi dalam tempoh tertentu. Syarikat yang memperoleh keuntungan yang besar kebiasaannya akan memberi sebahagian keuntungan itu kepada pelabur mereka sebagai tanda penghargaan atau akan menggunakan lebihan keuntungan itu untuk mengembangkan dan mengukuhkan lagi perniagaan mereka.
Kepada pelabur dividen, penting untuk kita tahu berapakah anggaran dividen yang bakal diperolehi sebelum membuat sebarang keputusan pelaburan. Untuk mengetahui jumlah dividen yang bakal diterima, pelabur perlu faham apa itu Dividen Per Share (DPS) dan apa itu Dividen Yield (DY).
Jadi, jom kita tengok apa yang dimaksudkan dengan Dividend Per Share (DPS) dan Dividend Yield (DY).
Dividend Per Share (DPS)
Pengiraan DPS ini selalunya sudah ada di dalam aplikasi seperti Bursa Marketplace, Malaysiastock.biz, KLSE Screener dan yang lain-lain. Namun adakah kita faham apa yang dimaksudkan dengan DPS ini?
Dividend Per Share (DPS) ini bermaksud berapa jumlah yang pelabur akan perolehi daripada jumlah unit saham yang dimiliki. Formula DPS ini adalah seperti berikut.

Daripada formula ini, kita faham bahawa pelabur akan mendapat dividen daripada syarikat berdasarkan jumlah pegangan unit saham yang dimiliki. Contohnya dalam penyata pendapatan syarikat setiap suku, kita akan dapati kenyataan seperti di bawah.


Sumber: Bursa Malaysia, Penyata Pendapatan Tenaga Nasional Berhad
Daripada laporan pendapatan ini, kita mendapati bahawa pelabur akan menerima dividen sebanyak RM1.00 bagi setiap unit saham yang dimiliki. Jika pelabur mempunyai 1,000 unit TNB , maka pelabur bakal menerima dividen sebanyak RM1,000.00.
Dalam contoh TNB ini, mereka tidak membayar dividennya sekali gus iaitu RM1.00 kepada pemilik saham, sebaliknya mereka membayar dividen ini secara berkala; iaitu RM0.30 dahulu dan diikuti dengan RM0.70 seperti yang tercatat di dalam laporan tahunan syarikat di atas.
Dividend Yield (DY)
Sama seperti DPS, pengiraan DY ini juga boleh diperolahi daripada Bursa Marketplace, KLSE Screener, Malaysiastock.biz dan lain-lain. Tapi perasan atau tidak, nilai DY ini sering berubah daripada semasa ke semasa? Mengapa?
Dividend Yield (DY) ini dalam bahasa mudahnya adalah berapa pulangan yang pelabur perolehi dalam bentuk dividen untuk setiap Ringgit yang dilaburkan. Formulanya adalah seperti berikut.

Formula DY ini membahagikan nilai DPS dengan harga semasa seunit saham syarikat. Inilah sebabnya mengapa nilai DY ini sentiasa berubah-ubah, kerana harga seunit saham sesebuah syarikat juga sering berubah.

Sumber: KLSE Screener
Seperti gambar di atas, harga semasa satu unit saham TNB adalah RM10.36. Dan nilai DPS-nya tadi adalah pada RM1.00. Jadi, jika kita bahagikan nilai DPS dengan harga semasa seunit saham syarikat, kita akan mendapat nilai 9.65%. Ianya sama seperti yang ditunjukkan di dalam gambar di atas. Nilai ini akan berubah jika harga saham atau nilai DPS-nya berubah.
Sekarang kita dah tahu perbezaan di antara Dividend Per Share (DPS) dan Dividend Yield (DY) ini, jom kita tengok pula kegunaannya.
Kegunaan Dividend Per Share (DPS)
Untuk DPS, nisbah ini digunakan untuk melihat berapakah jumlah dividen yang bakal diperolehi dengan setiap unit pemilikan saham syarikat.

Sumber: KLSE Screener
Jika dirujuk gambar di atas, TNB memberi dividen RM1.00 sesaham manakala Nestle memberikan dividen sebanyak RM2.80 sesaham. Jika hendak dibandingkan, dividen daripada Nestle lebih banyak berbanding apa yang diberikan oleh Tenaga. Tetapi adakah kita membuat perbandingan yang adil? Harga seunit saham Nestle adalah RM139.60 seunit manakala harga saham Tenaga hanyalah RM10.38 seunit.
Dengan bermodalkan RM10,000 kita hanya boleh memiliki lebih kurang 71 unit saham Nestle tetapi dengan modal yang sama kita boleh memperolehi lebih kurang 963 unit saham Tenaga. Dengan modal RM10,000, dividen yang diterima syarikat Nestle dengan 71 unit pegangan adalah lebih kurang RM198.00. Manakala dengan modal yang sama, TNB memberikan kita dividen lebih kurang RM963.00.
Kegunaan Dividend Yield (DY)

Sumber: KLSE Screener
Untuk membuat perbandingan yang adil, sekarang kita akan gunakan nisbah Dividend Yield, yang membolehkan kita membuat perbandingan yang lebih adil di antara dua saham syarikat yang berbeza yang memberikan nilai dividen yang berbeza. Dengan modal RM10,000, kita boleh terus mendarabkan dengan nilai DY seperti gambar di atas. Hasil pengiraan, kita akan mendapati bahawa Nestle akan memberikan pulangan dividen lebih kurang RM200.00 dengan modal RM10,000 dan TNB pula akan memberikan pulangan lebih kurang RM963.00 dengan modal yang sama.
Dengan berbandingan seperti ini, ternyata pelaburan dalam syarikat TNB adalah lebih berbaloi berbanding pelaburan dalam syarikat Nestle daripada sudut pulangan dividennya sahaja.
Nota: Nilai dividen yang diperolehi untuk DPS dan DY untuk pengiraan di atas sedikit berbeza kerana pengiraan DY adalah pengiraan kasar dan tidak mengambil kira faktor jumlah unit yang tepat boleh dibeli dengan modal RM10,000.
Rumusan
Memandangkan sekarang kita sudah tahu tentang dua nisbah DPS dan DY ini, lebih mudahlah untuk kita membuat kajian tentang syarikat mana yang kita hendak melabur. Dengan nilai nisbah DY ini juga, kita boleh bandingkan dengan dividen pelaburan lain seperti pelaburan unit trust, Mutual Fund, Fixed Deposit dan yang lain-lain. Namun kita perlu ingat bahawa syarikat berhak untuk tidak membuat sebarang bayaran dividen kepada para pelabur.
Ini kerana, memberi dividen kepada pelabur bukanlah sesuatu yang wajib.
Tengok chart dah reti, tekan ‘buy’ dan ‘sell’ pun tahu tapi…saham yang kita pilih itu bagus atau tidak?
Kalau nak jadi pelabur dan pedagang yang bijak memilih saham berkualiti tinggi, mestilah kena pandai kuasai teknik Analisis Fundamental dan Analisis Teknikal.
Pernah dengar formula CANSLIM? Ala…formula popular yang pelabur serata dunia gunapakai. Formula best ini dicipta oleh pelabur tersohor dunia iaitu William J. O’Neil.
Dengan menggunakan CANSLIM, secara tidak langsung kita telah pun membuat 2 jenis analisis tadi. Pelabur boleh menilai sendiri sama ada saham syarikat itu sesuai untuk dibeli atau boleh diabaikan.
Miliki e-book CANSLIM -> TheKapital.my/Ebook-CANSLIM




![Sektor Kajian: Barangan Pengguna [21 Julai 2025]](https://thekapital.my/wp-content/uploads/2025/07/speed-mart-GettyImages-2170285824-e1750396697447-360x180.webp)