KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) — Urus niaga di Bursa Malaysia mengakhiri sesi pagi dalam zon positif selepas didorong oleh kegiatan membeli semasa harga saham murah membabitkan kaunter berwajaran tinggi, sekali gus mengenepikan prestasi lemah semalaman di Wall Street.
Pada rehat tengah hari, indeks penanda aras FBM KLCI meningkat 2.83 mata kepada 1,581.74 daripada 1,578.91 pada penutupan urus niaga petang Selasa.
Indeks utama pagi ini dibuka 5.47 mata lebih tinggi pada 1,584.38 dan bergerak antara 1,575.18 dan 1,589.06 sepanjang sesi dagangan pagi.
Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung 486 berbalas 447, manakala 447 kaunter tidak berubah, 752 tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.
Jumlah dagangan ialah 3.57 bilion saham bernilai RM1.82 bilion.
Sementara itu bagi pergerakan indeks serantau, Indeks Straits Times Singapura turun 0.06 peratus kepada 3,205,73, Nikkei Jepun 0.17 peratus lebih tinggi pada 29,747.46, Hang Seng Hong Kong turun 0.65 peratus kepada 28,751.38 dan Kospi Korea Selatan menokok 0.20 peratus kepada 3,133.49.
Seorang peniaga berkata bursa tempatan dibuka lebih kukuh pagi ini dan kekal dalam zon positif sepanjang sesi urus niaga pagi, didorong oleh kegiatan membeli saham ketika harga murah dan seterusnya pulih kembali daripada kerugian selama dua hari yang dicatatkan sebelum ini.
Bagaimanapun, beliau menambah rakan bursa serantau yang lain kekal mempamerkan prestasi bercampur-campur dalam situasi dagangan yang lebih berhati-hati pada Rabu berikutan petunjuk negatif daripada dagangan semalaman di Wall Street.
“Ekuiti AS menyusut daripada rekod penutupan tertinggi yang dicatatkan pada sesi sebelumnya kerana para pelabur mengambil sikap berhati-hati menjelang pengumuman laporan pendapatan suku tahun sementara menantikan minit mesyuarat dasar monetari terkini Rizab Persekutuan untuk hala tuju pasaran.
“Para pelabur juga terus berwaspada terhadap langkah bank pusat China yang meminta pemberi pinjaman utama negara untuk mengehadkan pertumbuhan pinjaman bagi baki tahun selepas menyaksikan lonjakan dalam dua bulan pertama yang boleh mencetuskan risiko gelembung,” katanya.
Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank dan Public Bank masing-masing menambah satu sen kepada RM8.32 dan RM4.21, Petronas Chemicals susut enam sen kepada RM7.89, Tenaga turun dua sen kepada RM10.14 sementara IHH Healthcare tidak berubah pada RM5.30 .
Bagi kaunter aktif, Berjaya Corp meningkat 3.5 sen kepada 44 sen, Dagang NeXchange naik lima sen kepada 85.5 sen, sementara Macpie dan MLabs masing-masing turun setengah sen kepada 10 sen dan empat sen dan Dataprep menyusut tiga sen kepada RM1.07.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 15.12 mata kepada 11,733.74, FBMT 100 meningkat 10.0 mata kepada 11,382.42, FBM Emas Syariah menambah 22.71 mata kepada 12,997.92, dan FBM ACE mengembang 15.38 mata kepada 9,646.53.
FBM 70 jatuh 25.77 mata kepada 15,771.79.
Mengikut sektor, Indeks Perladangan naik 41.47 mata kepada 6,981.10, dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 0.11 mata menjadi 193.25 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan lebih tinggi 1.65 mata kepada 15,242.01.
— BERNAMA

