KUALA LUMPUR, 5 April (Bernama) — Bursa Malaysia mengenepikan trend kukuh pasaran serantau untuk mengakhiri urus niaga petang Isnin lebih rendah, terjejas oleh kegiatan pengambilan untung yang membabitkan kaunter berwajaran tinggi, didahului oleh sektor perkhidmatan kewangan dan penjagaan kesihatan.
Pada pukul 5 petang, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 1.10 mata kepada 1,584.24 daripada 1,585.35 ketika ditutup pada petang urus niaga Jumaat minggu lepas.
Indeks utama dibuka 0.46 mata lebih rendah pada 1,584.89 dan bergerak antara 1,582.20 dan 1,590.67 sepanjang sesi urus niaga hari ini.
Bagaimanapun, pergerakan harga di pasaran agak positif dengan kaunter untung mengatasi rugi 542 berbalas 532 sementara 419 kaunter tidak berubah, 638 tidak diniagakan dan lapan yang lain digantung.
Jumlah dagangan bagaimanapun meningkat kepada 7.84 bilion saham bernilai RM2.80 bilion daripada 6.62 bilion saham bernilai RM2.92 bilion pada Jumaat.
Di bursa serantau, Indeks Straits Times Singapura menokok 0.85 peratus kepada 3,208.79, Nikkei Jepun 0.79 peratus lebih tinggi pada 30,089.25, Kospi Korea Selatan naik 0.26 peratus kepada 3,120.83, sementara pasaran di Shanghai, Hong Kong dan Australia ditutup sempena cuti umum.
Seorang peniaga berkata bursa tempatan dibuka lemah tetapi berubah kepada positif selepas itu. Bagaimanapun, keuntungan diraih tidak mampu bertahan selepas kegiatan pengambilan untung muncul pada lewat pagi dan seterusnya mengakhiri sesi dagangan pagi-tengah hari lebih rendah.
Prestasi bursa serantau yang kukuh hari ini turut mengambil petunjuk daripada prestasi Wall Street yang mencapai paras tertinggi pada Khamis minggu lepas sebelum ditutup untuk cuti umum pada Jumaat.
Sementara itu, pasaran disokong oleh sektor pembinaan dengan indeks Pembinaan meningkat sebanyak 1.95 peratus hari ini.
Berita kerajaan telah memberi lampu hijau untuk Jalur 3 Transit Aliran Massa Lembah Klang (KVMRT) serta pengumuman Kementerian Pengangkutan hari ini bahawa Laluan Rel Pantai Timur telah diubah semula ke jajaran asal telah merancakkan sentimen di kaunter pembinaan, tambah beliau.
Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank naik sembilan sen kepada RM8.34 dan IHH Healthcare menambah empat sen kepada RM5.33.
Public Bank turun dua sen kepada RM4.22, Petronas Chemical menyusut satu sen kepada RM7.99 dan Tenaga jatuh empat sen kepada RM10.22.
Bagi kaunter aktif, Parkson naik tiga sen kepada 28 sen dan Matang menambah satu sen kepada 13 sen.
Waran Focus Dynamic turun setengah sen kepada satu sen, Berjaya lebih rendah satu sen kepada 44 sen dan Dagang Nexchange menyusut 4.5 sen kepada 86 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 12.35 mata kepada 11,755.45, FBM 70 melonjak 88.95 mata kepada 15,818.27, FBM Emas Syariah naik 13.45 mata kepada 13,019.30, FBMT 100 menambah 11.21 mata kepada 11,404.57 sementara FBM ACE turun 80.78 mata hingga 9,708.34.
Mengikut sektor, Indeks Perladangan menyusut 14.22 mata kepada 7,031.32, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 0.07 mata kepada 193.95 tetapi Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 23.67 mata kepada 15,300.23.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 4.03 bilion saham bernilai RM2.34 bilion daripada 3.92 bilion saham bernilai RM2.39 bilion Jumaat minggu lepas.
Perolehan waran turun kepada 196.23 juta unit bernilai RM25.67 juta daripada 194.35 juta unit bernilai RM21.03 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 3.61 bilion saham bernilai RM436.54 juta daripada 2.50 bilion saham bernilai RM513.85 juta pada Jumaat lalu.
Produk dan perkhidmatan pengguna merangkumi 952.68 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan industri (1.06 bilion), pembinaan (238.27 juta), teknologi (492.67 juta), SPAC (sifarl), perkhidmatan kewangan (101.0 juta), hartanah (593.62 juta), perladangan (20.31 juta), REIT (8.22 juta), dana tertutup (28,100), tenaga (394.30 juta), penjagaan kesihatan (26.04 juta), telekomunikasi dan media (31.11 juta), pengangkutan dan logistik (86.04 juta) dan utiliti (21.29 juta).
– BERNAMA

