KUALA LUMPUR, 29 Mac (Bernama) — Malakoff Corporation Bhd akan menumpukan pengembangan strategiknya, sebagai sebahagian daripada bidang pertumbuhan baharu, untuk mendapatkan bidaan stesen jana kuasa tenaga boleh baharu (RE) dan sisa buangan kepada tenaga (WTE).
Pengerusinya Datuk Hasni Harun berkata RE telah dikenal pasti sebagai satu daripada bidang pertumbuhan utama dalam industri tenaga, di peringkat antarabangsa mahupun di Malaysia.
“Permintaan terhadap tenaga akan terus meningkat memandangkan penggunaannya bertambah dalam tempoh yang panjang.
“Dalam Malaysia, bilangan stesen jana kuasa WTE juga dijangka berkembang apabila kerajaan mengumumkan sasaran enam jana kuasa WTE di negara ini menjelang 2025,” katanya dalam Laporan Tahunan syarikat yang dikeluarkan hari ini.
Hasni berkata sebagai pemain tenaga lestari, syarikat itu akan terus menumpukan untuk memantapkan pendekatan pengurusan risiko bagi meningkatkan daya tahan perniagaannya dan melengkapkan usaha pembangunan perniagaannya.
Untuk terus mewujudkan nilai dalam operasi syarikat dan bagi pemegang kepentingannya, beliau berkata Malakoff akan mengekalkan tumpuan utamanya kepada penjimatan kos dan program pengoptimuman operasi.
“Kami optimis pelaksanaan strategik kami akan terus membina nilai jangka panjang dan bermakna bagi pemegang saham dan pemegang kepentingan kami,” katanya.
Malakoff berharapkan program pemberian vaksin di seluruh dunia dan di Malaysia akan membantu meningkatkan ekonomi dunia apabila Bank Dunia mengunjurkan pertumbuhan 6.7 peratus bagi negara ini pada tahun ini, melantun semula daripada penguncupan 5.8 peratus pada 2020.
Sementara itu, dalam tahun kewangan syarikat bagi 2020, hasil menyusut sebanyak 15.44 peratus tahun ke tahun kepada RM6.27 bilion, di sebabkan terutamanya pembayaran tenaga yang rendah daripada loji arang batu Tanjung Bin Power Sdn Bhd (TBP) dan Tanjung Bin Energy Sdn Bhd (TBE) berikutan penyusutan harga arang batu (ACP).
— BERNAMA




