KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) — Malton Bhd telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Ho Wah Genting Bhd (HWGB) berkenaan hasratnya untuk melabur dalam anak syarikat milik penuh baharu HWGB iaitu HWGB EV Sdn Bhd.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Malton berkata ia bercadang untuk melabur dalam HWGB EV menerusi pengambilalihan 14 peratus kepentingan ekuiti dalam syarikat menerusi anak syarikat yang akan dicalonkan oleh Malton.
Ia menambah MoU itu akan membolehkan Malton dan anak-anak syarikatnya untuk melabur dalam perniagaan masa depan pembuatan, pemasangan dan pengedaran kenderaan elektrik (EV) HWGB EV di Malaysia.
“Pelaburan HWGB EV tertakluk kepada Malton untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan projek EV bagi penilaian seterusnya dan pertimbangan untuk pelaburan akan diputuskan setelah penilaian lebih lanjut mengenai projek serta perbincangan dengan HWGB.
“MoU itu akan membolehkan kumpulan mendapat akses kepada maklumat lanjut berhubung projek EV dan menjalankan penilaian dan kajian kemungkinan dalaman mengenai daya maju melabur dalam HWGB EV,” jelas Malton.
Pemaju hartanah itu menambah MoU itu tidak akan memberi sebarang kesan ke atas modal saham dan pegangan saham serta aset bersih, tahap kadar hutang, pendapatan dan pendapatan sesaham kumpulan.
— BERNAMA




