KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) — Jumlah aliran keluar dana asing bersih di Malaysia bagi tahun ini diunjur lebih rendah berbanding RM24.6 bilion yang dicatatkan pada 2020.
Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia, Adam Mohamed Rahim berkata ini berikutan aktiviti jualan asing bersih tersebut ternyata lebih perlahan sejak kebelakangan ini susulan pertumbuhan ekonomi yang semakin baik.
Malah, katanya, dalam kalangan negara jiran yang juga anggota ASEAN lain, Malaysia merekodkan aliran keluar bersih asing yang lebih kecil pada asas setakat tahun ini (YTD) berbanding Thailand dan Filipina.
Indonesia pula merupakan satu-satunya dalam kalangan anggota ASEAN menyaksikan aliran masuk bersih asing YTD yang dikaitkan dengan jangkaan pemulihan ekonomi serta didorong oleh pelaksanaan program vaksinasi COVID-19 negara itu yang bermula pada Februari lepas, kata beliau.
Menurutnya, Malaysia menyaksikan aliran masuk dana asing bersih ke dalam pasaran ekuiti tempatan untuk minggu kedua berturut-turut pada Mac 2021 selepas mencatat aliran keluar selama tiga minggu berturut-turut.
“Bulan ini merekodkan aliran masuk dana asing bersih berjumlah RM188.3 juta (setakat 24 Mac, 2021).
“Ini jelas satu peningkatan berbanding tempoh Januari dan Februari 2021 yang masing-masing merekodkan aliran keluar dana asing bersih melebihi RM800 juta,” katanya kepada Bernama.
Mengikut laporan, peningkatan aliran masuk dana asing ke dalam Bursa Malaysia adalah sejajar dengan penilaian bahawa bursa domestik ini adalah yang paling murah di rantau ini manakala hasil dividen sebanyak tiga peratus pula merupakan tertinggi dalam indeks-indeks utama Asia Pasifik selepas Singapura.
Bagaimanapun, Adam menyifatkan keadaan masih terlalu awal untuk mengandaikan bahawa pelabur asing kini telah kembali ke Bursa Malaysia.
Menurutnya, ini berikutan program vaksinasi tempatan masih di tahap awal serta terdapat risiko berlakunya kelewatan selain kemungkinan terdapat rakyat yang enggan mengambil vaksin itu atas alasan bimbangkan kesan sampingan berkaitan.
Faktor lain adalah keadaan landskap politik tempatan pada masa ini yang disifatkan goyah manakala usaha pembaharuan ekonomi dan institusi penting yang menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi, kini berdepan risiko ditangguhkan akibat perkembangan politik berkenaan.
Akibatnya, pelabur asing mungkin lebih bersikap berhati-hati terhadap pendedahan membabitkan ekuiti Malaysia, kata beliau.
Sementara itu, Ketua Strategis Pasaran Global Axi, Stephen Innes berkata bursa-bursa secara amnya kekal dinilai lebih rendah kerana terus terdedah terhadap risiko luar jangka seperti aliran pergerakan harga minyak.
Malah, minyak mentah Brent yang juga penanda aras global, telah melepasi paaras harga unjuran dalam Belanjawan 2021 pada US$42 setong kepada US$64 setong.
Sehubungan itu, beliau menyifatkan perkembangan tersebut memberi keuntungan besar kepada kerajaan memandangkan sumber berkaitan minyak menyumbang sebanyak 20 peratus kepada hasil kerajaan.
“Namun, pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS), kenaikan hasil bon AS dan jangkaan peningkatan ketara Rizab Persekutuan AS (Fed) pada 2023 atau lebih awal, boleh menjejaskan sebarang andaian peningkatan di peringkat tempatan.
“Saya juga berpendapat bahawa semua pasaran sedang pesat membangun, termasuk Bursa Malaysia, tidak terkecuali daripada impak risiko kenaikan kadar faedah AS. Ini kerana sebarang data ekonomi AS yang lebih mantap, akan memaksa pihak Fed bertindak melonggarkan dasar dalam tempoh terdekat yang hanya mengukuhkan dolar AS,” katanya.
— BERNAMA

