KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) — Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi ini agak rendah selepas menyaksikan urus niaga tidak menentu sepanjang sesi berkenaan hari ini.
Pada 12.30 tengah hari, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 0.69 mata kepada 1,597.04 daripada 1,597.73 ketika ditutup pada urus niaga petang Khamis.
Indeks utama dibuka 1.01 mata lebih tinggi pagi ini pada 1,598.74 dan bergerak antara 1,593.24 dan 1,599.69 sepanjang sesi urus niaga pagi.
Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi dengan 553 berbalas 373 manakala 417 kaunter tidak berubah, 889 tidak diniagakan dan 45 yang lain digantung.
Jumlah dagangan ialah 3.47 bilion saham bernilai RM1.68 bilion.
Menurut Rakuten Trade, ekuiti Amerika Syarikat pada masa ini berada di persimpangan antara pemulihan ekonomi dan kehilangan rangsangan, justeru, ketidakpastian pasaran yang berterusan adalah dijangkakan.
“Walaupun kami menjangkakan pasaran serantau akan mengalami beberapa situasi tidak menentu, kami dapati ada sejumlah dana asing memasuki Asia dan terdapatnya pengumpulan dana asing semalam. Oleh itu, kami unjurkan kebanyakannya pasaran serantau ditutup kukuh hari ini,” katanya.
Firma penyelidikan itu turut menyatakan FBM KLCI mungkin menyaksikan mod stabil dan bergerak dalam lingkungan julat yang kecil antara 1,595-1,605 hari ini dengan para pelabur akan memantau perkembangan politik tempatan yang akan berlaku pada hujung minggu ini.
Dalam kalangan kaunter berwajaran tinggi, Maybank naik satu sen kepada RM8.24, PBBank meningkat dua sen kepada RM4.19, PChem turun lapan sen pada 7.97 dan IHH lega tujuh sen pada RM5.34.
Bagi kaunter paling cergas pula, Matang bertambah 1.5 sen kepada 12.5 sen, Widad meningkat lima sen pada 55 sen, Komark naik 4.5 sen pada 36 sen sementara DNex turun setengah sen pada 95.5 sen sementara warannya 1.5 sen lebih tinggi pada 35.5 sen .
Di papan indeks, Indeks FBM Emas menambah 5.23 mata kepada 11,741.58, FBMT 100 naik 0.09 mata menjadi 11,409.70, FBM ACE melonjak 100.64 mata kepada 10,463.48 dan FBM 70 menokok 19.49 mata kepada 15,492.36.
Bagaimanapun, FBM Emas Syariah menyusut 1.14 mata kepada 13,040.46.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan untung 10.67 mata kepada 15,258.66, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.01 mata kepada 191.48 dan Indeks Perladangan mengukuh 24.85 mata kepada 7,107.20.
– BERNAMA
