KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) — YTB Land Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Yong Tai Bhd, telah dilantik sebagai pengendali tunggal serta eksklusif bagi menjalankan kerja-kerja meneroka dan eksploitasi meliputi kawasan seluas 100 hektar di Bukit Kenderak, Ulu Jelai di daerah Lipis, Pahang.
Ketua Pegawai Eksekutif Yong Tai, Datuk Wira Boo Kuang Loon menyifatkan pelantikan tersebut sebagai peluang keemasan untuk syarikat berkenaan memperluas cabang perniagaannya daripada pembangunan hartanah serta pelancongan yang terjejas teruk akibat penularan pandemik COVID-19.
“Kami berbangga di atas pelantikan sebagai pengendali tunggal dan eksklusif bagi perlombongan emas di tanah itu oleh rakan usaha sama sedia ada dalam projek pembangunan hartanah kami. Ini jelas memaparkan keyakinan rakan niaga terhadap pengurusan kami.
“Projek secara ‘brownfield’ atau pembangunan semula juga merupakan salah satu pilihan yang berdaya maju untuk kami memandangkan ia menawarkan pulangan lebih pantas pada kos lebih rendah dengan memanfaatkan kemudahan prasarana sedia ada,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Yong Tai berkata, perjanjian perlombongan itu sah sehingga 11 Mei, 2025 bagi peringkat awal dan syarikat itu boleh memohon tempoh lanjutan pajakan melombong selama lima tahun lagi sekiranya masih terdapat simpanan emas di kawasan tersebut.
“Operasi perlombongan di kawasan itu telah dijalankan sejak lima tahun lepas yang terbukti dapat menghasilkan emas., sekiranya disokong oleh eksplorasi pangkalan data serta model geologikal lebih terperinci yang dapat mengurangkan risiko serta pengurangan atau diskaun ketara dari segi kos modal.
“Mengambil kira purata harga emas sekitar RM225,000 sekilogram (kg), syarikat ini dijangka mencatat perolehan hasil sebanyak RM4.5 juta sebulan sekiranya kegiatan perlombongan dijalankan dengan anggaran purata kapasiti sebanyak 20 kilogram,” katanya.
— BERNAMA




