KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) — Bursa Malaysia ditutup lebih tinggi petang ini dan diniagakan melepasi paras 1,600, meningkat 0.44 peratus selepas dirangsang oleh beberapa berita positif di dalam negara.
Bagaimanapun, pasaran secara meluas kekal lesu.
Pada 5 petang, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mengukuh 7.11 mata kepada 1,602.40 mata berbanding 1,595.29 ketika ditutup semalam.
Pagi ini, indeks utama dibuka lemah pada 1,591.66 sekitar 9 pagi dan seterusnya bergerak antara 1,585.44 dan 1,602.77 sepanjang hari.
Ahli ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata di dalam negara, data ekonomi menunjukkan Indeks Harga Pengguna Malaysia meningkat sebanyak 0.1 peratus pada Februari, menamatkan trend menurun selama 11 bulan berturut-turut dan ini sekali gus memberikan beberapa isyarat bahawa ekonomi negara kini sedang berkembang.
Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung dengan 633 berbalas 438 manakala 477 kaunter tidak berubah, 675 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.
Jumlah dagangan menyusut kepada 6.95 bilion saham bernilai RM3.56 bilion daripada 7.05 bilion saham bernilai RM4.04 bilion pada urus niaga Selasa.
Adam berkata bursa tempatan tidak menghiraukan prestasi lemah di kebanyakan bursa serantau seperti Korea Selatan, Jepun, Hong Kong dan Indonesia yang indeks masing-masing mempamerkan penurunan.
“Pasaran serantau berada dalam kerugian di tengah-tengah prospek pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan berikutan sekatan pergerakan baharu di Eropah serta potensi kenaikan cukai di Amerika Syarikat,” kata beliau kepada Bernama.
Alasan lain yang menjuruskan kepada pemulihan pada urus niaga Rabu di pasaran tempatan adalah pelabur asing yang berpotensi telah kembali menyertai ekonomi Malaysia dengan dana asing berubah menjadi penjual bersih di Bursa Malaysia minggu lepas.
Ini turut disokong oleh kajian Standard Chartered yang menunjukkan syarikat Eropah dan AS telah meletakkan Malaysia sebagai negara Asia Tenggara kedua terbaik untuk peluang menubuhkan atau mengembangkan sumber, penjualan atau operasi mereka dalam tempoh enam hingga 12 bulan akan datang.
Sementara itu, Adam berkata indeks indeks perladangan dan utiliti adalah antara kaunter yang meraih keuntungan dengan memperoleh 0.4 peratus sementara indeks telekomunikasi dan media mencatatkan kerugian terbesar sebanyak 0.6 peratus.
Saham paling untung dalam kalangan saham berwajaran tinggi, PChem menambah 15 sen pada RM8.07, MISC naik 16 sen pada RM6.85, Tenaga meningkat 12 sen kepada RM10.82, Top Glove tujuh sen lebih tinggi pada RM5.12 dan IOICorp menambah enam sen kepada RM4 .30.
Bagi kaunter aktif pula, DNex menambah 9.5 sen kepada 98 sen dan warannya naik 4.5 sen kepada 34 sen, MMAG menyusut 10.5 sen pada 39 sen, G Ocean meningkat setengah sen kepada 6.5 sen, SMI naik tiga sen pada 21 sen sementara YongTai menokok satu sen kepada 27 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 24.67 mata kepada 11,753.79, FBMT 100 meningkat 25.57 mata kepada 11,429.44 dan FBM Emas Syariah lebih tinggi 42.45 mata kepada 13,063.34.
Bagaimanapun, FBM 70 menyusut 62.71 mata kepada 15,447.36 sementara FBM ACE kerugian 72.75 mata kepada 10,438.86.
Mengikut sektor, Indeks Perladangan meningkat 27.85 mata kepada 7,163.05 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.7 mata menjadi 191.12, tetapi Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 18.45 mata kepada 15,266.77.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama turun kepada 4.05 bilion saham bernilai RM2.74 bilion daripada 4.45 bilion saham bernilai RM3.25 bilion semalam.
Perolehan waran merosot kepada 275.66 juta unit bernilai RM44.29 juta daripada 291.59 juta unit bernilai RM47.12 juta.
Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 2.62 bilion saham bernilai RM774.44 juta daripada 2.31 bilion saham bernilai RM742.79 juta sebelumnya.
Produk dan perkhidmatan pengguna merangkumi 628.30 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (799.50 bilion), pembinaan (148.34 juta), teknologi (763.94 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (66.30 juta), hartanah (728.20 juta), perladangan (25.82 juta), REIT (8.24 juta), dana tertutup (16,800), tenaga (619.77 juta), penjagaan kesihatan (26.19 juta), telekomunikasi dan media (51.19 juta), pengangkutan dan logistik (153.9 juta) dan utiliti (34.1 juta).
– BERNAMA

