KUALA LUMPUR, 15 Mac (Bernama) — Kelington Engineering (Shanghai) Co., Ltd (KESH), subsidiari milik penuh Kelington Group Bhd, telah memenangi kontrak daripada The Fourth Construction Co., Ltd. bagi melaksanakan kera-kerja “hook up” projek fabrikasi wafer memori Ruili Integrated Circuit Co. yang bernilai RM37.9 juta di Hefei, China.
Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata kontrak tersebut bertempoh setahun mulai Mac 2021 dan dijangka selesai menjelang Mei 2022.
”Kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan serta aset bersih Kelington bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2021 dan 31 Dis 2022,” katanya.
Sehingga 28 Feb 2021, tempahan dalam tangan terkumpul KESH pada 2021 direkodkan sebanyak RMB34 juta termasuk kontrak “hook up” lain bernilai RMB32.8 juta yang diperoleh daripada syarikat pembuat semikonduktor terbesar di China.
Dengan pemberian kontrak baharu ini, Kelington berkata tempahan dalam tangan KESH yang terkini berada pada RMB94 juta atau kira-kira RM59.4 juta.
The Fourth Construction Co., Ltd. of China Electronics System Engineering beroperasi sebagai perusahaan kejuruteraan berteknologi tinggi.
— BERNAMA




