KUALA LUMPUR, 8 Mac (Bernama) — Bursa Malaysia mencatat prestasi berbeza berbanding pasaran serantau apabila mengakhiri dagangan Isnin dengan lebih tinggi, didorong oleh sentimen positif susulan lonjakan harga minyak mentah serta minat belian ketara terhadap saham-saham kewangan, kata peniaga.
Pada 5 petang, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 11.69 mata atau 0.73 peratus kepada 1,611.81 daripada 1,600.12 pada Jumaat lepas.
Sewaktu dagangan dibuka pagi Isnin, indeks tersebut menokok 7.36 mata kepada 1,607.48 dan bergerak dalam jajaran 1,607.48 hingga 1,625.69 sepanjang dagangan hari ini.
Namun, sentimen pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 647 berbanding 621 manakala 397 kaunter lain tidak berubah, 507 tidak diniagakan dan lapan lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan meningkat kepada 9.80 bilion unit bernilai RM6.28 bilion daripada 7.99 bilion unit bernilai RM5.15 bilion pada Jumaat lepas.
Di peringkat serantau, Indeks Hang Seng Hong Kong turun 1.92 peratus kepada 28,540.83, indeks Nikkei Jepun susut 0.42 peratus pada 28,743.25, Kospi Korea Selatan merosot 1.0 peratus kepada 2,996.11 manakala Indeks Straits Times Singapura meraih 1.96 peratus kepada 3,072.88.
Seorang peniaga berkata pasaran saham Asia telah memulakan dagangan minggu ini pada kedudukan lebih kukuh susulan sentimen optimis berkaitan laporan media bahawa pakej rangsangan ekonomi Amerika Syarikat bernilai US$1.9 trilion itu semakin mendapat minat pada akhir minggu lepas selain data-data dagangan China yang positif.
“Bagaimanapun, kebanyakan saham Asia susut berikutan aktiviti pengambilan untung dan kebimbangan mengenai peningkatan inflasi akibat harga minyak mentah yang lebih tinggi,” katanya.
Pencarta Kanan Maybank Investment Bank Nik Ihsan Raja Abdullah memberitahu Bernama, minat yang kukuh terhadap kaunter-kaunter perbankan, tenaga dan pembinaan terus menyokong FBM KLCI dalam dagangan Isnin walaupun terdapat tekanan jualan berterusan dalam sektor penjagaan kesihatan serta teknologi yang terbukti menjejaskan sentimen domestik.
Menurutnya, pengukuhan harga minyak mentah dengan Brent yang juga penanda aras melangkaui paras harga US$70 setong, juga menjadikan saham-saham minyak dan gas mendapat tumpuan dalam dagangan Isnin.
“Pasaran ekuiti diunjur kekal positif selepas FBM KLCI secara teknikalnya telah melepasi penurunan yang membayangkan penerusan aliran peningkatan.
“Aktiviti belian secara bergilir-gilir dijangka menyusul dengan mengambil kira aliran pengukuhan saham mewah terpilih yang boleh mencetuskan aktiviti pengambilan untung,” katanya.
Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank meningkat 14 sen kepada RM8.50, Public Bank meraih lima sen kepada RM4.40, Petronas Chemicals untung 53 sen kepada RM8.35, Tenaga mengukuh enam sen kepada RM10.40 manakala IHH Healthcare susut empat sen kepada RM5.29.
Bagi saham aktif, Dagang NeXchange meraih 8.5 sen kepada 72 sen dan warannya naik 2.5 sen kepada 33 sen, Sapura Energy meningkat satu sen kepada 16.0 sen, Sealink International menokok 7.5 sen kepada 28.5 sen manakala Komarkcorp merosot 10.5 sen kepada 33.0 sen.
Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas menambah 28.51 mata kepada 11,723.77 manakala Indeks FBMT 100 melonjak 31.98 mata kepada 11,430.55.
Indeks FBM Emas Shariah susut 54.41 mata kepada 12,881.42, FBM 70 merosot 156.16 mata kepada 15,192.49 manakala FBM ACE turun ketara 181.96 mata kepada 10,226.03.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 237.26 mata kepada 15,690.0, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 2.56 mata kepada 187.40 manakala Indeks Perladangan berkurangan 47.63 mata kepada 7,115.79.
Di Pasaran Utama, jumlah dagangan meningkat kepada 7.42 bilion saham bernilai RM5.60 bilion daripada 5.77 bilion saham bernilai RM4.46 bilion pada Jumaat lepas.
Jumlah waran meningkat kepada 553.03 juta unit bernilai RM105.58 juta daripada 443.22 juta unit bernilai RM94.73 juta, sebelum ini.
Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 1.83 bilion saham bernilai RM571.06 juta daripada 1.78 bilion saham bernilai RM594.34 juta pada minggu lepas.
Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sejumlah 1.12 bilion saham yang didagangkan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan perindustrian (1.44 bilion), pembinaan (270.21 juta), teknologi (1.58 bilion), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (247.22 juta), hartanah (316.09 juta), perladangan (44.35 juta), REIT (15.85 juta), dana ditutup (49,900), tenaga (1.72 bilion), penjagaan kesihatan (86.22 juta), telekomunikasi dan media (96.74 juta), pengangkutan dan logistik (425.56 juta) serta utiliti (55.98 juta).
— BERNAMA

