KUALA LUMPUR, 8 Mac (Bernama) — Bursa Malaysia mengakhiri sesi urus niaga pagi ini lebih tinggi, dirangsang oleh minat belian membabitkan saham kewangan serta sentimen positif daripada lonjakan harga minyak mentah.
Bursa tempatan kekal memberangsangkan meskipun pasaran serantau yang lain mula menyusut selepas mencatatkan peningkatan pada urus niaga pagi, kata para peniaga.
Pada pukul 12.30 tengah hari, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melonjak 23.13 mata atau 1.45 peratus kepada 1,623.25 daripada 1,600.12 Jumaat lepas.
Pasaran dibuka tinggi pagi ini, meningkat 7.36 mata kepada 1,607.48 dan bergerak antara 1,607.48 dan 1,625.69 sepanjang sesi urus niaga pagi.
Pergerakan harga di pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi rugi 696 berbalas 490 sementara 367 kaunter tidak berubah, 619 tidak diniagakan dan lapan lain digantung.
Jumlah dagangan ialah pada 5.84 bilion unit bernilai RM3.27 bilion.
Di bursa serantau, Indeks Hang Seng Hong Kong turun 1.34 peratus kepada 28,708.93, Nikkei Jepun merosot 0.46 peratus kepada 28,730.98, Kospi Korea Selatan lebih rendah 0.37 peratus kepada 3,015.15, sementara Indeks Straits Times Singapura naik 1.78 peratus menjadi 3,067.59.
Seorang peniaga berkata bursa tempatan kekal berada dalam zon positif di sepanjang sesi pagi, didorong oleh sentimen optimis dan harapan untuk pemulihan ekonomi yang lebih cepat.
“Keputusan Bank Negara Malaysia untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) merancakkan minat pasaran untuk saham sektor kewangan sementara harga minyak mentah yang stabil – dengan minyak mentah Brent melepasi US$70 setong – juga menyaksikan saham minyak dan gas menjadi tumpuan pelabur hari ini,” katanya.
Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank meningkat 18 sen kepada RM8.54, Public Bank menambah lapan sen kepada RM4.43, Petronas Chemicals naik 66 sen kepada RM8.48, Tenaga mengukuh 10 sen kepada RM10.44 dan IHH Healthcare lebih tinggi dua sen kepada RM5. 35.
Kaunter paling cergas, Sapura Energy dan Velesto masing-masing naik 1.5 sen kepada 16.5 sen dan 19.0 sen, Dagang Nexchange meningkat 11.5 sen kepada 75 sen dan warannya menambah enam sen kepada 36.5 sen sementara Komarkcop turun dua sen kepada 41.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas melonjak 133.86 mata kepada 11,829.12, Indeks FBMT 100 naik 129.51 mata kepada 11,528.08 dan Indeks FBM Emas Syariah lebih tinggi 90.99 mata pada 13,026.82.
FBM 70 meningkat 37.46 mata kepada 15,386.11,sementara FBM ACE menyusut 42.16 mata kepada 10,365.83.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 293.80 mata kepada 15,746.54, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 5.07 mata kepada 189.91 sementara Indeks Perladangan turun 17.02 mata kepada 7,146.40.
– BERNAMA

