KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) — Indeks utama mengakhiri minggu ini pada paras harian tertinggi ketika sentimen berhati-hati di pasaran meluas, disokong oleh saham wajaran tinggi termasuk saham perbankan yang menerima manfaat daripada keputusan Bank Negara Malaysia mengekalkan Kadar Dasar Semalaman pada 1.75 peratus dan harga minyak yang lebih kukuh, kata peniaga.
Pada 5 petang, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melonjak 18.86 mata atau 1.19 peratus untuk ditutup kepada 1,600.12 daripada 1,581.26 ketika ditutup pada Khamis.
Indeks utama itu dibuka 1.42 mata lebih tinggi kepada 1,582.26 dan mencecah paras harian terendah kepada 1,579.74 awal hari ini.
Bagaimanapun, suasana pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 617 kepada 560, manakala 422 kaunter tidak berubah, 556 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.
Minyak mentah Brent naik 1.24 peratus kepada US$67.96 selepas Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC)+ melanjutkan pengurangan pengeluaran.
Jumlah dagangan berkurangan kepada 7.99 bilion unit bernilai RM5.15 bilion daripada 9.63 bilion unit bernilai RM5.37 bilion pada Khamis.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Top Glove naik 29 sen kepada RM5.25, Public Bank dan CIMB mengukuh 12 sen masing-masing kepada RM4.35 dan RM4.49, RHB Bank menokok 18 sen kepada RM5.50 dan Hong Leong Bank naik 26 sen kepada RM18.68.
Sime Darby Plantation tidak berubah pada RM4.95, TNB susut enam sen kepada RM10.34, IHH Healthcare jatuh 14 sen kepada RM5.33, Press Metal turun 12 sen kepada RM9.60 dan Maxis jatuh satu sen kepada RM4.56.
Bagi saham aktif, Velesto Energy naik satu sen kepada 17.5 sen, Bumi Armada menokok tiga sen kepada 45.5 sen, TH Heavy Engineering menambah 1.5 sen kepada 13.5 sen, Sapura Energy menokok setengah sen kepada 15 sen, Sealink International meraih tiga sen kepada 21 sen dan Komarkcorp susut 17.5 sen kepada 43.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 74.59 mata kepada 11,695.26, FBMT 100 naik 82.31 mata kepada 11,398.57, FBM Emas Shariah menambah 18.77 mata kepada 12,935.83, FBM ACE naik 13.73 mata kepada 10,407.99, namun FBM 70 turun 90.34 mata kepada 15,348.65.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 0.34 mata kepada 184.84, Indeks Perladangan meningkat 13.96 mata kepada 7,163.42 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 265.09 mata kepada 15,452.74.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama rendah kepada 5.77 bilion saham bernilai RM4.46 bilion daripada 5.81 bilion saham bernilai RM4.58 bilion pada Khamis.
Jumlah dagangan waran turun kepada 443.22 juta unit bernilai RM94.73 juta daripada 487.12 juta unit bernilai RM83.64 juta semalam.
Jumlah dagangan di Pasaran ACE turun kepada 1.78 bilion saham bernilai RM594.34 juta daripada 3.33 bilion saham bernilai RM709.20 juta.
Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 804.48 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (1.40 bilion), pembinaan (179.31 juta), teknologi (591.03 bilion), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (221.79 juta), hartanah (481.90 juta), perladangan (25.58 juta), REIT (102.78 juta), dana tertutup (23,500), tenaga (1.38 bilion), penjagaan kesihatan (105.89 juta), telekomunikasi dan media (192.06 juta), pengangkutan dan logistik (66.48 juta) dan utiliti (46.06 juta).
— BERNAMA

