KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) — Bursa Malaysia mengakhiri sesi awal urus niaga Khamis lebih kukuh dengan indeks utama melonjak melebihi 1.0 peratus, dirangsang oleh aktiviti membeli ketika harga saham murah.
Sementara itu, saham semikonduktor sekali lagi menjadi tumpuan dengan syarikat-syarikat yang terbabit dalam sektor itu dilihat menguasai senarai saham yang mencatatkan keuntungan di keseluruhan pasaran.
Pada waktu rehat, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mengukuh 16.19 mata atau 1.04 peratus kepada 1,573.74 daripada 1,557.55 ketika ditutup pada petang Rabu.
Indeks utama dibuka 9.35 mata lebih kukuh pada 1,566.90 dan bergerak antara 1,565.77 dan 1,574.58 sepanjang urus niaga pagi.
Pergerakan harga di pasaran kekal positif dengan kaunter untung mengatasi rugi 673 berbalas 403 sementara 431 kaunter tidak berubah, 691 tidak diniagakan dan 71 yang lain digantung.
Jumlah dagangan ialah 6.20 bilion unit bernilai RM3.23 bilion.
Daripada 30 kaunter di FBM KLCI, lebih dua pertiga berada dalam zon positif dengan peningkatan didahului oleh Press Metal Aluminium selepas syarikat berkenaan mencatatkan keuntungan bersih yang kukuh iaitu RM142.6 juta untuk suku keempat berakhir 31 Dis, 2020, dirangsang oleh harga aluminium yang tinggi.
Press Metal Aluminium mengakhiri urus niaga pagi dengan 77 sen lebih tinggi kepada RM9.72, diikuti oleh Maybank yang mengukuh 10 sen kepada RM7.99.
Tenaga meningkat 20 sen kepada RM10.10 sementara CIMB dan Petronas Chemicals masing-masing naik 10 sen kepada RM4.31 dan RM7.77.
Senarai paling untung dikuasai oleh kaunter semikonduktor, didahului oleh MPI, melonjak RM2.84 kepada RM37.90.
Vitrox melambung 82 sen kepada RM18.02, D&O Green Technologies naik 54 sen kepada RM3.87, Unisem 44 sen lebih kukuh kepada RM9.04, Frontken menambah 38 sen kepada RM5.68 sementara Inari meningkat 36 sen kepada RM3.64.
Kaunter cergas yang lain termasuk Permaju Industries yang menambah 3.5 sen hingga 18.5 sen, waran Dagang Nexchange naik 2.5 sen kepada 34.5 sen, Metronic Global turun dua sen kepada 8.5 sen sementara XOX dan Key Alliance masing-masing menyusut setengah sen kepada sembilan sen dan lima sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas memperoleh 141.02 mata kepada 11,624.14, Indeks FBMT 100 meningkat 132.59 mata kepada 11,306.85 dan Indeks FBM Emas Syariah 173.13 mata lebih tinggi kepada 13,045.22.
Indeks FBM 70 menokok 245.30 mata kepada 15,596.76 dan Indeks FBM ACE mengembang 61.26 mata kepada 10,882.35.
Mengikut sektor, Indeks Kewangan meningkat 157.60 mata kepada 14,871.35, Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menambah 5.58 mata kepada 187.07 dan Indeks Perladangan lebih tinggi 50.48 mata kepada 7,211.18.
Indeks Teknologi mengukuh 4.42 mata kepada 90.56.
— BERNAMA

