KUALA LUMPUR, 16 Feb (Bernama) — Pasaran saham Kuala Lumpur melepaskan keuntungan yang diperoleh pada awal sesi urus niaga untuk ditutup rendah petang Selasa ini.
Bagaimanapun, indeks utama kekal melepasi paras psikologi 1,600 mata, kata para peniaga.
Pada pukul 5 petang, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 1.93 mata kepada 1,606.14 daripada 1,608.07 ketika ditutup petang Isnin.
Pada pembukaan pagi ini, indeks utama meningkat 3.97 mata kepada 1,612.04 dan bergerak antara 1,605.4 dan 1,613.01 sepanjang sesi urus niaga.
Di pasaran secara meluas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi dengan 748 berbalas 523 manakala 400 kaunter tidak berubah, 490 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.
Jumlah dagangan mengukuh kepada 12.59 bilion unit bernilai RM5.78 bilion berbanding 10.02 bilion unit bernilai RM4.68 bilion semalam.
Ahli ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata pasaran serantau mencatatkan kenaikan dengan jangkaan inflasi akan meningkat lebih tinggi, terutamanya ketika bank pusat global berjanji untuk mengekalkan kadar rendah untuk jangka masa yang panjang.
“Kaunter sarung tangan di FBM KLCI seperti Supermax dan Hartalega, masing-masing turun 3.9 peratus dan 1.8 peratus dan ini telah mengheret turun bursa tempatan.
“Sentimen di sekitar kaunter sarung tangan terjejas oleh jangkaan pelancaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan tidak lama lagi dan ini menimbulkan kebimbangan bahawa permintaan sarung tangan akan berkurangan kelak selepas negara mencapai tahap imuniti,“ katanya kepada Bernama.
Namun begitu, Adam berkata pelancaran vaksin akan terus mendorong pembukaan semula pelbagai sektor ekonomi, memulihkan sentimen pengguna serta meningkatkan pertumbuhan dan ketahanan ekonomi Malaysia.
Sementara itu, dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank naik dua sen kepada RM8.14, Public Bank menambah satu sen kepada RM4.22, PChem meningkat 19 sen kepada RM7.75 sementara Tenaga turun 28 sen kepada RM9.90 dan Top Glove jatuh 11 sen kepada RM6. 06.
Saham-saham paling cergas pula, Dagang NeXchange dan Lambo masing-masing turun setengah sen pada 54 sen dan tiga sen sementara DGB Asia naik lima sen kepada 14.5 sen, ARB meningkat tiga sen kepada 36.5 sen dan Dataprep naik 16 sen kepada 42 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 13.13 mata kepada 11,750.00, Indeks FBMT 100 meningkat 6.38 mata kepada 11,447.49 sementara Indeks FBM Emas Syariah turun 28.05 mata pada 13,182.15.
FBM 70 mengukuh 86.44 mata kepada 15,438.29 dan FBM ACE meningkat 120.89 mata kepada 11,352.13.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 73.79 mata kepada 15,189.74, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 2.48 mata kepada 184.29 sementara Indeks Perladangan turun 81.64 mata kepada 7,114.26.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 7.68 bilion saham bernilai RM4.64 bilion daripada 6.93 bilion saham bernilai RM3.65 bilion yang dicatatkan pada penutup Isnin.
Jumlah dagangan waran meningkat pada 358.33 juta unit bernilai RM55.32 juta daripada 276.69 juta unit bernilai RM34.38 juta.
Jumlah dagangan di Pasaran ACE mengukuh kepada 4.55 bilion saham bernilai RM1.08 bilion daripada 2.8 bilion saham bernilai RM993.32 juta sebelumnya.
Produk dan perkhidmatan pengguna merangkumi 675.36 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan industri (1.5 bilion), pembinaan (346.22 juta), teknologi (2.57 bilion), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (87.83 juta), hartanah (558.74 juta), perladangan (52.09 juta), REIT (15.93 juta), dana tertutup (11,200), tenaga (1.5 bilion), penjagaan kesihatan (79.12 juta), telekomunikasi dan media (82.81 juta), pengangkutan dan logistik (144.37 juta) dan utiliti (62.2 juta).
– BERNAMA

