KUALA LUMPUR, 15 Feb (Bernama) — Indeks utama pasaran saham tempatan ditutup tinggi hari ini seiring dengan bursa tempatan, kata peniaga.
Pada 5 petang, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 8.65 mata kepada 1,608.07 daripada 1,599.42 ketika ditutup pada Khamis.
Indeks itu dibuka 7.58 mata lebih tinggi kepada 1,607.00 dan bergerak di antara 1,607.00 dengan 1,614.92 sepanjang sesi dagangan.
Di pasaran lebih meluas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 864 kepada 339, manakala 423 kaunter tidak berubah, 535 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.
Jumlah dagangan meningkat kepada 10.02 bilion unit bernilai RM4.68 bilion berbanding 3.21 bilion unit bernilai RM2.05 bilion sebelum ini.
Ahli ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Adam Mohamed Rahim berkata pasaran tempatan mengambil isyarat daripada ekonomi Asia Tenggara seperti Singapura yang menguncup lebih rendah daripada dijangkakan pada suku akhir 2020.
“Keyakinan kepada pemulihan ekonomi meningkat selepas banyak negara mula melancarkan vaksin COVID-19.
“Selain itu, harga minyak menokok pada Isnin kepada paras tertinggi dalam tempoh 13 bulan berikutan kebimbangan kepada ketegangan yang meruncing di Timur Tengah yang mendorong pembelian baharu, manakala harapan bahawa rangsangan Amerika Syarikat dan kelonggaran sekatan perjalanan akan mendorong permintaan terhadap bahan api, turut memberikan sokongan,” katanya kepada Bernama hari ini.
Sehubungan itu, Adam berkata, adalah tidak mengejutkan sekiranya kaunter-kaunter berkaitan minyak di bawah indeks FBM KLCI seperti Dialog dan Petronas Dagangan mencatatkan peningkatan hari ini.
Saham Petronas Dagangan naik 38 sen kepada RM19.88, manakala Dialog menokok empat sen kepada RM3.15.
“Indeks Tenaga Bursa Malaysia muncul sebagai kaunter untung terbesar.
“Yang menarik, kaunter teknologi turut menerima minat belian pada Isnin di tengah-tengah pergerakan tematik kekurangan cip global akibat pandemik yang sedang berlaku ini yang mungkin memanfaatkan syarikat semikonduktor Malaysia,” kata Adam.
Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank menokok 14 sen kepada RM8.12, MISC menambah 23 sen kepada RM6.49, Tenaga menokok 12 sen kepada RM10.18, RHB Bank meningkat 16 sen kepada RM5.48 dan IOI Corporation menambah 10 sen kepada RM4.37.
Saham aktif menyaksikan Dagang NeXchange naik 10.5 sen kepada 53.5 sen, Luster Industries dan DGB Asia meningkat 1.5 sen masing-masing kepada 24 sen dan 9.5 sen, Techna-X naik empat sen kepada 17.5 sen dan Key Alliance menambah satu sen kepada lima sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas menokok 75.05 mata kepada 11,736.87, Indeks FBMT 100 menambah 61.07 mata kepada 11,441.11 dan Indeks FBM Emas Shariah 89.95 mata lebih tinggi kepada 13,210.2.
FBM 70 menokok 80.19 mata kepada 15,351.85 dan FBM ACE naik 348.01 mata kepada 11,231.24.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 77.48 mata kepada 15,115.95, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri naik 1.24 mata kepada 181.81 dan Indeks Perladangan naik 50.21 mata kepada 7,195.9.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 6.93 bilion saham bernilai RM3.65 bilion daripada 2.23 bilion saham bernilai RM1.65 bilion sewaktu ditutup pada Khamis.
Bagi waran, jumlahnya lebih tinggi kepada 276.69 juta unit bernilai RM34.38 juta daripada 184.1 juta unit bernilai RM30.39 juta.
Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 2.8 bilion saham bernilai RM993.32 juta daripada 787.86 juta saham bernilai RM359.05 juta sebelum ini.
Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 634.66 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan industri (1.34 bilion), pembinaan (321.23 juta), teknologi (2.77 bilion), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (97.22 juta), hartanah (474.93 juta), perladangan (34.05 juta), REIT (10.06 juta), dana tertutup (17,200), tenaga (968.54 juta), penjagaan kesihatan (42.68 juta), telekomunikasi dan media (54.09 juta), pengangkutan dan logistik (144.61 juta) serta utiliti (29.03 juta).
Bursa Malaysia menjalankan operasi dagangan separuh hari pada Khamis lepas dan ditutup pada Jumaat bersempena sambutan Tahun Baharu Cina.
— BERNAMA

