KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) — Permaju Industries Bhd hari ini menandatangani perjanjian jual beli saham bersyarat dengan Chai Kim Chong untuk mengambil alih 600,000 saham biasa dalam Hardie Development Sdn Bhd mewakili 30 peratus kepentingan ekuiti bernilai RM21.8 juta.
Hardie adalah anak syarikat 70 peratus milik Permaju yang sedia ada.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Permaju turut mencadangkan pelaksanaan tawaran saham persendirian sehingga 182,410,000 saham biasa baharu mewakili 30 peratus daripada jumlah saham terbitan sedia ada kepada pelabur pihak ketiga bebas yang akan dikenal pasti kemudian.
Permaju berkata Hardie merupakan pemaju hartanah yang ketika ini membangunkan Princess Heights Projects di Sabah dan sebaik selesai pengambilalihan itu, Hardie akan menjadi anak syarikat milik penuh syarikat berkenaan.
“Sehubungan itu, pengambilalihan ini akan membolehkan kami menggabungkan sepenuhnya kepentingan dalam Hardie. Ini membolehkan syarikat menerima semua manfaat akan datang yang mungkin terakru daripada pembangunan Princess Heights Project yang sedang dilaksanakan yang dijangka meningkatkan keuntungan dan aliran tunai kumpulan pada masa depan,” katanya.
Sementara itu, hasil yang diraih daripada cadangan tawaran saham persendirian itu akan digunakan terutamanya untuk menyelesaikan pertimbangan belian.
Selepas selesai cadangan tawaran saham persendirian, asas modal yang diperbesarkan itu diharap dapat memperkukuhkan kedudukan kewangan syarikat, katanya.
Untuk kemajuan masa depan, Permaju berhasrat memberi tumpuan kepada pembangunan Princess Heights Project dan pelancaran perniagaan sewaan kereta mewahnya sebagai antara usaha berterusan untuk terus meningkatkan prestasi perniagaan, memaksimumkan nilai pemegang saham dan menambah baik kedudukan kewangan.
— BERNAMA

