KUALA LUMPUR, 3 Feb (Bernama) — Saham-saham di Bursa Malaysia terus mencatatkan keuntungan untuk ditutup tinggi petang ini, didorong oleh belian berterusan membabitkan kaunter berkaitan tenaga dan teknologi.
Indeks tenaga mengukuh 3.51 peratus kepada 831.10 sementara indeks teknologi meningkat sebanyak 3.23 peratus.
Pada pukul 5 petang, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 2.5 mata atau 0.158 peratus kepada 1,582.99 berbanding 1,580.49 ketika ditutup petang Selasa.
Indeks utama dibuka 3.53 mata lebih tinggi pagi ini kepada 1,584.02 dan berlegar dari serendah 1,582.54 dan setinggi 1,597.93 sepanjang hari.
Di pasaran lebih luas, kaunter untung mengatasi rugi dengan 733 berbalas 429 manakala 430 kaunter tidak berubah, 537 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.
Jumlah dagangan mengukuh kepada 6.09 bilion unit bernilai RM4.93 bilion daripada 5.92 bilion unit bernilai RM4.39 bilion pada Selasa.
“Kejatuhan inventori minyak mentah Amerika Syarikat dan permintaan bahan bakar musim sejuk yang meningkat berikutan bahagian Timur Laut negara itu yang sentiasa dilanda salah satu ribut salji terburuk dalam beberapa tahun ini telah mendorong harga minyak mentah untuk diniagakan tinggi melepasi US$55 setong, paras tertinggi dalam tempoh setahun.
“Ini membantu menolak naik saham tenaga,’’ kata ahli ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim kepada Bernama.
Ketika urus niaga ditutup, syarikat berkaitan Petronas seperti Petronas Chemicals dan Petronas Gas adalah antara kaunter berwajaran tinggi yang mencatatkan keuntungan, masing-masing meningkat 19 sen dan lapan sen kepada RM7.10 dan RM16.28.
Adam menambah kaunter berkaitan teknologi sebahagiannya kukuh disebabkan oleh jualan semikonduktor global yang meningkat 8.3 peratus tahun ke tahun pada bulan Disember 2020.
Beliau menambah dalam jangka pendek, kekurangan cip global akan memberi kesan positif kepada syarikat berkaitan semikonduktor Malaysia kerana permintaan yang kukuh akan meningkatkan penggunaan kapasiti secara umum.
Untuk kaunter berwajaran tinggi, Maybank mengukuh sembilan sen kepada RM7.94 dan Public Bank tidak berubah pada RM4.10.
Bagaimanapun, kaunter berkaitan penjagaan kesihatan seperti Hartalega, Supermax dan Top Glove mengalami kerugian kerana aktiviti pengambilan untung.
Hartalega turun 12 sen kepada RM13.18, Supermax menyusut 30 sen kepada RM6.78 manakala Top Glove 23 sen lebih lemah pada RM6.82.
Saham paling cergas, Iris Corp merosot satu sen kepada 38 sen, Metronic lebih rendah setengah sen kepada 9.5 sen sementara Luster Industries naik dua sen kepada 22 sen.
Sementara itu, kaunter berkaitan teknologi mengungguli kaunter paling untung dengan Malaysian Pacific Industries melonjak RM1.64 menjadi RM35.94, UWC (+80 sen kepada RM13.02), Vitrox (+62 sen kepada RM17.40) dan Greatech (+55 sen menjadi RM6.25).
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 43.96 mata kepada 11,489.31, Indeks FBMT 100 naik 31.85 mata kepada 11,224.80 dan Indeks FBM Emas Syariah mengukuh 32.36 mata pada 13,049.90.
FBM 70 naik 97.10 mata kepada 14,915.31 dan FBM ACE meningkat 154.18 mata kepada 10,945.14.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 100.59 mata kepada 14,549.17, Indeks Perladangan menokok 8.09 mata kepada 7,174.36 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian 3.1 mata lebih baik pada 173.80.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 3.85 bilion saham bernilai RM3.96 bilion daripada 3.18 bilion saham bernilai RM3.44 bilion yang dicatatkan pada penutup Selasa.
Perolehan waran mengembang kepada 547.53 juta unit bernilai RM95.71 juta berbanding 422.53 juta unit bernilai RM79.26 juta.
Bagaimanapun, jumlah dagangan di Pasaran ACE menurun kepada 1.69 bilion saham bernilai RM872.69 juta berbanding 2.31 bilion saham bernilai RM869.44 juta sebelumnya.
Produk dan perkhidmatan pengguna merangkumi 537.63 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan industri (1.3 bilion), pembinaan (263.67 juta), teknologi (409.67 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (170.08 juta), hartanah (179.49 juta), perladangan (47.36 juta), REIT (10.93 juta), dana tertutup (4,100), tenaga (627.68 juta), penjagaan kesihatan (99.37 juta), telekomunikasi dan media (48.37 juta), pengangkutan dan logistik (115.05 juta) dan utiliti (47.63 juta).
– BERNAMA

