KUALA LUMPUR, 25 Jan (Bernama) — Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi ini lebih rendah walaupun pasaran serantau menunjukkan sentimen positif.
Ini ialah kerana pasaran tempatan telah dipengaruhi oleh kemunculan kegiatan pengambilan untung di kaunter yang membabitkan teknologi dan produk pengguna terpilih, sekali gus menyebabkan keuntungan terdahulu terhapus, kata seorang peniaga.
Pada rehat tengah hari, indeks penanda aras utama FBM KLCI menyusut 4.19 mata kepada 1,592.55 selepas bergerak antara 1,592.19 dan 1,600.54 sepanjang sesi urus niaga.
Pagi ini, indeks utama dibuka 3.80 mata lebih tinggi pada 1,600.54 berbanding penutup minggu lepas iaitu 1,596.74.
Di pasaran lebih meluas, kaunter rugi mengatasi untung dengan 965 berbalas 223 manakala 319 kaunter tidak berubah, 611 tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung.
Jumlah dagangan ialah 3.68 bilion unit bernilai RM2.50 bilion.
Seorang peniaga berkata sebahagian besar saham Asia berada dalam momentum menaik pada Isnin kerana kebimbangan mengenai peningkatan kes COVID-19 dan penangguhan bekalan vaksin telah ditenangkan oleh jangkaan terhadap pelan rangsangan fiskal bernilai US$1.9 trilion bagi membantu menggerakkan kembali ekonomi AS.
Bagaimanapun, beliau berkata para pelabur agak berhati-hati dengan penilaian tinggi di celah-celah persoalan mengenai kecekapan vaksin dalam membendung pandemik dan penggubal AS terus membahaskan pakej bantuan itu.
Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank turun 3.0 sen kepada RM7.97, Public Bank menyusut 26 sen kepada RM21.40, Petronas Chemicals lebih rendah 29 sen kepada RM 7.06, TNB berkurangan 4.0 sen kepada RM9.74 sementara Top Glove meningkat 23 sen kepada RM6.48.
Saham-saham paling cergas, DNeX naik 3.5 sen kepada 29.5 sen, Luster Industries menokok 1.5 sen kepada 6.0 sen, Bioalpha lebih tinggi setengah sen kepada 30.5 sen sementara QES susut 2.0 sen kepada 36 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas lebih rendah 83.51 mata kepada 11,480.27, Indeks FBMT 100 mengecil 70.72 mata kepada 11,224.04 dan Indeks FBM Emas Syariah susut 62.71 mata kepada 12,986.24.
Indeks FBM 70 pula turun 252.95 mata kepada 14,648.73 dan Indeks FBM ACE merosot 47.23 mata kepada 10,710.28.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan kerugian 165.09 mata kepada 14,720.57 sementara Indeks Perladangan menambah 1.28 mata kepada 7,224.44 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian lemah 4.86 mata kepada 172.59.
— BERNAMA

