KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) — Bursa Malaysia mengakhiri sesi pagi ini lebih tinggi, mencecah paras 1,600 selepas didorong oleh kegiatan pembelian berterusan untuk saham permodalan sederhana dan kecil.
Pada waktu urus niaga berhenti rehat tengah hari, indeks petunjuk utama FBM KLCI meninkgat 7.9 mata kepada 1,602.7 selepas bergerak antara 1,595.74 dan 1,605.7 sepanjang sesi urus niaga.
Indeks utama dibuka 1.26 mata lebih tinggi pagi ini kepada 1,596.06 berbanding 1,594.8 ketika ditutup semalam.
Di pasaran lebih meluas, kaunter rugi mengatasi untung dengan 494 berbalas 465 manakala 475 kaunter tidak berubah, 688 tidak diniagakan dan 32 yang lain digantung.
Jumlah dagangan ialah 3.6 bilion unit bernilai RM2.4 bilion.
Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank naik dua sen kepada RM8.07, Public Bank menambah 26 sen kepada RM21.82 dan Top Glove meningkat 30 sen kepada RM6.32, tetapi PChem turun enam sen kepada RM7.29 dan Tenaga jatuh tujuh sen kepada RM9.81.
Saham paling cergas pula, K-Star Sports turun 2.5 sen kepada 23 sen sementara Dagang NeXchange, Vsolar dan Lambo masing-masing tidak berubah pada 25.5 sen, empat sen dan tiga sen.
Sementara Dynaciate meningkat satu sen kepada 13 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 56.25 mata kepada 11,589.62, Indeks FBMT 100 meningkat 52.45 mata kepada 11,321.76 dan Indeks FBM Emas Syariah mengukuh 83.02 mata pada 13,068.7.
FBM 70 meningkat 55.67 mata kepada 14,878.19 dan FBM ACE lebih tinggi 69.47 mata kepada 10,793.93.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 26.32 mata kepada 14,913.11 sementara Indeks Perladangan turun 13.91 mata kepada 7,217.01 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian merosot 0.52 mata menjadi 177.37.
— BERNAMA

