KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) — KLCC Stapled Group (KLCC Stapled), yang terdiri daripada KLCC Real Estate Investment Trust (REIT) dan KLCC Property Holdings Bhd (KLCCP) mencatatkan keuntungan bersih tinggi sebanyak RM191.06 juta pada suku kedua tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2024 berbanding RM180.80 juta pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.
KLCC Stapled dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata, keuntungan sebelum cukai segmen pelaburan hartanah runcitnya meningkat sebanyak 11.1 peratus kepada RM108.0 juta, hasil daripada semakan semula sewa yang dinaikkan dan kadar penghunian yang lebih baik.
Syarikat itu berkata perolehan meningkat kepada RM413.24 juta daripada RM394.63 juta pada suku yang sama tahun lepas.
KLCC Stapled berkata keputusan kewangan kumpulan itu mencerminkan pengambilalihan baki pegangan dalam Suria KLCC Sdn Bhd dengan peningkatan 5.7 peratus dalam keuntungan yang boleh diagihkan kepada pemegang ekuiti kepada RM191.1 juta semas suku tahun tersebut.
Suria KLCC menjadi anak syarikat milik penuh kumpulan berkenaan pada 23 April, 2024.
“Prestasi semua segmen memuaskan, terutamanya dalam segmen runcit dan hotel,” kata kumpulan itu.
Bagi tempoh separuh pertama tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2024, kumpulan mencatatkan keuntungan bersih yang lebih besar sebanyak RM379.09 juta berbanding RM361.36 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas manakala pendapatan meningkat kepada RM822.15 juta daripada RM775.38 juta sebelumnya.
KLCC Stapled mengisytiharkan pengagihan dividen 9.2 sen bagi setiap sekuriti pada suku kedua 2024, meningkat daripada 9.8 sen pada suku yang sama tahun lepas.
Ini menjadikan jumlah dividen bagi 2024 meningkat kepada 18.2 sen berbanding 17.3 sen setahun sebelumnya.
— BERNAMA




